Kerajaan komited perkasa keusahawanan di Sabah
Published on: Sunday, October 20, 2019
By: Ottey Peter
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited dalam menjadikan keusahawanan salah satu tonggak kekuatan ekonomi negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Beliau berkata kerajaan negeri berhasrat untuk mewujudkan sebuah ekosistem keusahawanan holistik dan kondusif di Sabah untuk menyokong agenda pembangunan ekonomi negara yang inklusif, seimbang dan lestari, dengan itu mewujudkan sebuah masyarakat berdaya fikir dan berjiwa keusahawanan.
ADVERTISEMENT
“Kerajaan negeri komited untuk meningkatkan bilangan usahawan berkualiti, berdaya maju, tabah, global dan berdaya saing, sambil meningkatkan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Saya menggesa rakyat Sabah, khususnya golongan muda untuk memperoleh pengetahuan dan menanam budaya keusahawanan dalam diri mereka dan menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan,” kata Shafie apabila merasmikan program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) peringkat negeri di Pusat Beli-belah Imago, di sini, Sabtu.
Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Bertemakan “Koperasi Dorong Keusahawanan Negara’, koperasi merupakan salah satu cabang usahawan dan satu platform yang dapat memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan masyarakat.
ADVERTISEMENT
Program itu dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) dengan kerjasama Kerajaan Sabah, yang memberi peluang kepada usahawan Sabah meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka.
Ia diadakan selama tiga hari dari Jumaat sehingga hari ini (Ahad), dengan lebih 70 usahawan dan koperasi dari Sabah dan Sarawak mempamerkan produk serta perkhidmatan mereka termasuk makanan dan minuman, kraf tangan, dan inap desa, antara lainnya.
ADVERTISEMENT
Setakat 2018, terdapat 1,524 koperasi di seluruh Sabah dengan jumlah ahli 302,513. Jumlah nilai pendapatan daripada Pergerakan Koperasi Sabah adalah RM375.6 juta.
Shafie berkata program itu bukan saja mempromosi dan memperluaskan rangkaian perniagaan dan pasaran, ia juga batu loncatan untuk kerajaan negeri memperkukuhkan agenda keusahawanan di Sabah.
Beliau berharap Pergerakan Koperasi ini akan dapat mendominasi dan mengukuhkan sistem rantaian nilai untuk membolehkan perniagaan-perniagaan beroperasi dalam ekosistem kondusif melalui pembabitan secara langsung dalam aktiviti pembuatan logistik, bekalan, pengagihan dan perkhidmatan.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
Beliau juga menggesa rakyat Sabah mengambil peranan koperasi secara lebih agresif dan kompetitif untuk menghadapi cabaran-cabaran global yang memerlukan ketabahan, dan pada masa yang sama juga dapat melaksanakan transformasi sambil meningkatkan imej, keterlihatan dan keyakinan masyarakat.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Persekutuan, Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli.