Tue, 16 Apr 2024

HEADLINES :


'Beri jawatan menteri kepada Hajiji'
Published on: Sunday, October 20, 2019
By: Iskandar Dzulkifli
Text Size:

'Beri jawatan menteri kepada Hajiji'
BEAUFORT: Parti Warisan Sabah (Warisan) perlu memberikan jawatan menteri kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor sebagai langkah awal kerjasama rakan sekutu.

Pengarah Strategi dan Pilihan Raya Bersatu Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin (gambar) berkata, ia wajar bagi membuktikan keikhlasan Warisan sebagai “rakan”‘ dalam Pakatan Harapan (PH) sekaligus mengikis tanggapan umum bahawa parti itu prejudis terhadap Bersatu.

Menurutnya, Warisan juga wajar mencontohi sikap Parti Bersatu Sabah (PBS) semasa era pentadbirannya pada 1990-1994 yang memberi beberapa jawatan menteri kepada pemimpin Usno bagi menghargai kerjasama antara dua parti.

“Pada masa itu, PBS memberi dua jawatan menteri dan pembantu menteri termasuk beberapa jawatan dalan GLC lainnya kepada pemimpin Usno walaupun pada masa itu PBS memiliki majoriti besar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kalau diikutkan, PBS di bawah Tan Sri Pairin (Joseph Pairin Kitingan) sebagai Ketua Menteri, tidak perlu memberikan apa-apa kepada Usno namun kami (PBS pada masa itu) ikhlas terhadap kerjasama ini.

“Sewajarnya Warisan mencontohi usaha ini kerana parti ini tidak mungkin membentuk kerajaan tanpa bantuan parti lainnya dari kalangan PH dan Upko kerana hanya mempunyai 21 kerusi,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran Program ‘Sentuhan Kasih’ Srikandi Bersatu Bahagian Beaufort yang dirasmikan Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor, di sini pada Sabtu.

Hadir sama Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun dan Ketua Bahagian Bersatu Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih.

Lajim turut mengulangi pendirian Bersatu khususnya Pengerusinya yang juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kemasukan Bersatu ke Sabah adalah untuk mengukuhkan Warisan bukan mengancam kedudukan parti itu.

Katanya, situasi ketika ini juga dilihat adalah masa yang tepat untuk semua parti dan ‘rakan mesra’ dalam PH saling bekerjasama erat sebagai persediaan menghadapi Piliha Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, tempoh kira-kira tiga tahun sebelum PRU15 adalah tidak panjang dan memerlukan persediaan mantap semua parti dalam PH yang harus mencapai kesepakatan dalam semua rundingan.

“Bagi memastikan kerjasama ini mantap, Warisan dan Bersatu serta parti rakan lainnya harus mengadakan perundingan awal bagi membincangkan beberapa isu utama membabitkan jawatan, kuota kawasan pilihanraya dan perkara penting lainnya.

“Tidak perlu dilambatkan (perbincangan) sehingga saat-saat akhir sebelum PRU15 kerana dikhuatiri akan menimbulkan banyak masalah hingga menjejaskan peluang PH.

“Walaupun Bersatu baru tujuh bulan bertapak di Sabah, tetapi kami juga mempunyai Adun serta ahli parlimen di negeri ini yang turut memerlukan perhatian daripada Kerajaan Negeri di bawah Pimpinan Warisan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Warisan perlu ikhlas dalam persahabatan dengan rakan parti lainnya sebagai satu langkah memastikan parti itu dan PH terus menerajui Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

 





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here