ADVERTISEMENT


HEADLINES :




BNM saran had transaksi tunai RM25,000 mulai tahun depan
Published on: Friday, November 08, 2019

KUALA LUMPUR: Malaysia bercadang menguatkuasakan had transaksi tunai  (CTL) sebanyak RM25,000 mulai tahun depan untuk memperkukuh integriti kewangan negara.

“Ini untuk menangani penyalahgunaan wang tunai yang digunakan untuk kegiatan haram,” kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram (NCC), Datuk Rasheed Ghaffour.

Bagaimanapun, industri dengan urus niaga tunai yang besar seperti peniaga bernilai tinggi, pelancongan perubatan, hotel dan borong dikecualikan daripada CTL, katanya pada taklimat media di sini, pada Khamis. 

Langkah itu terpakai bagi semua transaksi melibatkan pembayaran wang tunai bagi barangan dan perkhidmatan dan derma dan pindahan antara pihak-pihak, yang terpakai ke atas individu, perniagaan dan entiti lain.  

Industri dengan transaksi tunai pada jumlah banyak yang mungkin terkesan dengan CTL adalah peniaga nilai-tinggi, pelancongan perubatan, hotel, dan borong, katanya.

“Bagaimanapun, terdapat dua pengecualian penting untuk diambil perhatian. Pertamanya, sebarang transaksi tunai kepada atau dengan institusi kewangan adalah dikecualikan. Sebagai entiti yang dikawal selia, institusi ini sudah tertakluk dengan syarat ketat berhubung pengubahan wang haram atau pencegahan pembiayaan keganasan. 

“Keduanya, transaksi tunai untuk tujuan seperti bantuan kemanusiaan juga (akan) dikecualikan  daripada mendapatkan kelulusan Kementerian Kewangan atas syor Bank Negara Malaysia,” kata  Abdul Rasheed.  

Katanya langkah itu tidak akan menjejaskan isirumah susulan libat urus NCC dengan lebih 1,000 individu di seluruh negara mendedahkan bahawa urus niaga tunai tunggal secara purata dalam kalangan kumpulan pendapatan Bawah 40 peratus (B40) adalah RM2,284, kumpulan pendapatan sederhana 40 peratus, M40 (RM4,104) dan kumpulan pendapatan tinggi 20 peratus, T20 (RM7,843).

Bank pusat juga telah mengadakan libat urus dua hala dengan pelbagai persatuan perniagaan. – Bernama

 



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular