Koveten fokus pembangunan rumah untuk veteran tentera
Published on: Sunday, November 10, 2019
By: Lagatah Toyos
TAWAU: Koperasi Veteran Tentera Malaysia Berhad (Koveten) yang ditubuhkan 7 Oktober lalu berhasrat memberikan fokus kepada pembangunan perumahan untuk ahlinya di seluruh negara berikutan isu terbabit masih menjadi permasalahan utama bekas-bekas tentera, selain kewangan.
Presiden Koveten, Datuk Sri Nik Zainorden Nik Mohamad berkata, istimewanya, perumahan yang bakal dibangunkan berbeza dengan lain kerana koperasi membuat permohonan tanah daripada kerajaan untuk dianugerahkan kepada ahli-ahlinya.
ADVERTISEMENT
“Manakala, syarikat dengan usahasama Koveten akan membangunkan rumah di atas ‘tanah anugerah’ tersebut dan dijual kepada para ahli mengikut modal kos pembangunan tanpa mengambil sebarang keuntungan,” katanya.
Ketika ini, katanya, sebanyak 5, 000 unit rumah di Melaka dan Negeri Sembilan sudahpun dianugerahkan kepada pihaknya untuk diuruskan.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penerangan Koveten di sini, Sabtu. Hadir sama, Naib Presidennya, Mejar (B) A. Rahman dan Ketua Penaja Koveten Cawangan Sabah, Juaini Buyong.
Mengulas lanjut, Nik Zainorden berkata, isu perumahan veteran tentera menjadi tumpuan utama Koveten di Sabah dan Sarawak memandangkan taraf kehidupan mereka masih ada yang terkebelakang, khususnya yang berkhidmat sehingga 90an kerana perbezaan gaji dan wang pencen.
ADVERTISEMENT
Menyentuh penubuhan Koveten pula, beliau menyatakan tujuan utamanya adalah untuk menggabungkan kesemua veteran dari tiga cawangan tentera laut, udara dan darat di bawah satu bumbung demi memudahkan bantuan disalurkan, sekaligus mengelak daripada terpaksa merempat.
“Keahlian kita terbuka kepada bekas-bekas tentera samada berpencen atau tidak berpencen, pegawai dan lain-lain pangkat di tiga cawangan tentera tadi (laut, udara, darat) dengan saham minimum RM100 dan maksimum RM1, 000,” katanya.
ADVERTISEMENT
Ketika ini, katanya, Koveten mempunyai 15 Ahli Lembaga Pengarah dan 2, 906 ahli berdaftar di seluruh negara dengan Kedah serta Selangor menjadi negeri memiliki ahli terbanyak.
“Sasaran kita sebenarnya maksimum 100 keahlian di setiap negeri… cawangan pertama tertubuh adalah Perak, diikuti Terengganu dan Selangor, manakala penubuhan sembilan lagi negeri termasuk Sabah dan Sarawak dijangka mendapat kelulusan pada bulan ini,” katanya.
Dari segi keahlian, katanya, Koveten tiada isu walaupun seseorang itu menjadi ahli kepada koperasi tentera lain asalkan memenuhi syarat ditetapkan iaitu warganegara Malaysia dan tidak diisytihar muflis memandangkan mereka hanya boleh menjadi ahli tetapi tidak boleh membeli saham sekiranya seorang muflis.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
“Oleh itu, bersamalah dengan Koveten untuk mencari penyelesaian kepada permasalahan yang kita hadapi dan kita (koperasi) bersedia mencari langkah perlu melalui saluran samada kerajaan Pusat dan Negeri bagi menanganinya,” katanya lagi.