RM267.43j untuk pembangunan modal insan
Published on: Sunday, November 17, 2019
By: Larry Ralon
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM267.43 juta untuk pembangunan modal insan, termasuk program keagamaan, kemudahan dan infrastruktur sokongan, untuk tahun hadapan.
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (gambar) berkata daripada jumlah ini, RM124.66 juta untuk Kementerian Pelajaran dan Inovasi bagi membiayai pelbagai program pembudayaan inovasi, termasuk pewujudan hab inovasi dan penganjuran kempen, seminar serta pertandingan seperti Makerspace dan bengkel Do It Yourself di sekolah seluruh Sabah tahun depan.
ADVERTISEMENT
Di samping itu, persidangan atau simposium juga akan dianjurkan bagi menghargai dan mengiktiraf semua pihak yang berjaya menghasilkan sesuatu rekaan atau ciptaan baharu.
“Modal insan merupakan aset terbesar dan harta yang tidak ternilai kepada Sabah. Oleh itu, Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha untuk memperkasa pembangunan modal insan ke arah melahirkan generasi yang kompeten, berdaya tahan dan berintegriti tinggi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2020 di Sidang Dewan Undangan Negeri di sini, Jumaat.
Pada masa sama, Mohd Shafie berkata, Kerajaan Negeri menerusi kementerian terbabit akan meneruskan komitmen untuk menangani isu sekolah-sekolah daif di Sabah melalui kerjasama lebih erat dengan kementerian berkaitan di peringkat persekutuan.
Katanya, Kerajaan Negeri akan terus menawarkan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah dengan peruntukan sebanyak RM52 juta pada tahun hadapan, yang dijangka memberikan manfaat kepada kira-kira 1,200 pelajar tempatan, bagi membantu pelajar-pelajar daripada Sabah yang layak melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta di dalam dan luar negara.
ADVERTISEMENT
“Tahun hadapan, sebagai sebuah gedung ilmu, Perpustakaan Negeri Sabah diperuntukkan RM43.28 juta untuk tujuan mengurus dan pembangunan,” katanya, sambil menambah, peruntukan, antara lain, akan dibelanjakan untuk memulakan pembinaan bangunan perpustakaan cawangan Tenom dan Kunak; menggantikan bas bergerak usang di cawangan Sandakan dan menyedia bas DesaNet di cawangan Papar, Kudat dan Keningau; membeli buku, e-buku, e-jurnal, terbitan berkala; serta bahan audio visual; dan melaksanakan kempen membaca di seluruh rangkaian perpustakaan di negeri ini.
Selain itu, katanya, Kerajaan turut memperuntukkan RM23.06 juta kepada Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) tahun hadapan untuk melaksanakan Kajian Human Capital Development Blueprint for Sabah, 2021– 2035, yang bertujuan untuk mengenal pasti jurang permintaan penawarkan pasaran kerja pelbagai industri dengan hasil kajian ini akan digunakan sebagai garis panduan merancang pembangunan modal insan di Sabah; untuk memulakan pembinaan Kampus Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) di Mesilou, Kundasang, Ranau, yang akan dijadikan sebagai Pusat Pengajian Hospitaliti dan Perhotelan pada tahun 2020; menjalinkan kerjasama dengan UniKL dan menghantar pelatih ILTP melanjurkan pelajaran ke peringkat Diploma dalam bidang automatif, elektik, kimpalan dan penyaman udara, dalam mana penghantaran pertama pelajar dijangka dapat dibuat pada awal tahun depan; melaksanakan pelbagai program bagi membantu rakyat seperti program Kembara Kerjaya dan Pameran Latihan Kemahiran dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja yang akan dilaksanakan tahun depan; dan untuk menaiktaraf Alat Bantuan Latihan (ABL) untuk Program Teknikal dan Perdagangan di ILTP, JPSM Papar.
ADVERTISEMENT
“Adalah menjadi dasar dan matlamat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi termasuk dalam aspek teknologi seperti ICT. Dalam dunia moden dan era globalisasi hari ini, kemampuan modal insan dalam menguasai teknologi digital yang bertunjangkan infrastruktur dan infostruktur ICT amatlah kritikal dalam usaha Kerajaan untuk maju dan bergerak pantas ke hadapan.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM57.49 juta untuk latihan, kursus-kursus dan pembangunan ICT di Sabah pada tahun hadapan,” katanya.
Ini termasuklah peruntukan di bawah Kementerian Pelajaran dan Inovasi sebanyak RM35.69 juta dan Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah berjumlah RM20.90 juta.
Manakala, baki peruntukan selebihnya sebanyak RM0.90 juta diletakkan di bawah kawalan Kementerian Kewangan. Peruntukan tersebut akan dibelanjakan antara lainnya untuk meneruskan agenda pembangunan Kerajaan Elektronik (e-Government); program Kreatif Inovasi; dan Program Pembangunan IT.
“Hasrat dan harapan kita tidaklah terhenti setakat melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi sahaja. Ini kerana Kerajaan memerlu dan mementingkan sumber manusia yang telah diterapkan dengan nilai-nilai murni dan positif yang seimbang dari aspek intelek dan rohani,” kata Mohd Shafie.
Sehubungan itu, kata beliau, Kerajaan akan terus melaksanakan program-program keagamaan termasuk Pengurusan hal-ehwal dan pendidikan agama Islam di Sabah dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM106.22 juta. Ini melibatkan peruntukan-peruntukan bagi Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam; Majlis Ugama Islam Sabah; dan Perbadanan Baitulmal pada tahun 2020, yang akan dibelanjakan untuk pembangunan prasarana dan kemudahan seperti Kompleks Islam; masjid; surau; tadika dan sekolah-sekolah agama serta rumah-rumah anak yatim.
Tumpuan akan diberikan kepada pemerkasaan aspek ilmiah dan penyediaan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan selesa kepada pelajar, katanya.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
Beliau berkata RM43 juta juga diperuntukkan untuk membantu badan keagamaan, sekolah persendirian bukan Islam dan sekolah mubaligh, yang mana RM25 juta untuk tujuan keagamaan manakala selebihnya RM18 juta untuk pembangunan sekolah persendirian dan sekolah bukan Islam.
“Sebagai kerajaan prihatin, peruntukan untuk tujuan ini dinaikkan sebanyak RM8 juta atau 22.86 peratus pada 2020, berbanding RM35 juta diperuntukkan pada tahun 2019,” katanya.