Wed, 24 Apr 2024

HEADLINES :


Kerajaan isytihar perang terhadap pemburu haram
Published on: Monday, November 18, 2019
By: Ricardo Unto
Text Size:

Kerajaan isytihar perang  terhadap pemburu haram
KOTA KINABALU:  Kerajaan mengisytiharkan ‘perang’ terhadap pembunuh dan pemburu haram hidupan liar di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew menyatakan perkara itu susulan penemuan bangkai seekor gajah pigmi betina, Sabtu lepas, di Kinabatangan.

“Saya sangat sedih dengan kematian seekor lagi gajah,” katanya ketika ditemui selepas majlis pemahkotaan Miss Scuba International, di sini, Sabtu lepas.

“Berdasarkan bedah siasat, nampaknya gajah berkolar itu masih sihat ketika mereka memeriksanya dua hari lepas dan pagi ini (Sabtu) ia ditemui mati.

“Saya dimaklumkan bahawa ia mati disebabkan kegagalan organ, disyaki berpunca daripada keracunan akut – seseorang mungkin telah meracunnya atau ia memakan baja.”

Ini adalah bangkai gajah pigmi kedua ditemui di Kinabatangan bulan ini, selepas satu lagi ditemui terapung di Sungai Kinabatangan pada 3 November lalu.

Pada 25 September lepas, satu bangkai gajah pigmi ditemui dengan kesan peluru di Sungai Dumpas di Kalabakan, Tawau, sementara satu lagi bangkai ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Beluran pada 19 Oktober.

Sehubungan itu, Liew berkata sudah tiba masanya tindakan drastik diambil untuk menangani isu itu.

“Saya akan mengadakan satu mesyuarat tergempar dengan Jabatan Hidupan Liar untuk merangka langkah-langkah lebih baik. Kita perlu mengambil tindakan drastik kerana orang-orang ini (pembunuh hidupan liar) mencabar kita.

“Dengan membunuh gajah-gajah ini, mereka mencabar kita dan juga undang-undang yang melindungi hidupan liar ini.

“Saya beri amaran kepada mereka yang terus mencabar undang-undang dan pihak berkuasa, kamu tidak akan pergi jauh dan lambat-laun, kami akan dapat menangkap kamu “Saya sudah arahkan Jabatan Hidupan Liar untuk berhabisan memerangi mereka yang terlibat,” katanya.

Beliau menambah, tahun depan adalah tahun penting kerana kementeriannya akan menyediakan lebih banyak peruntukan bagi melindungi hidupan liar di Sabah.

“Dengan belanjawan baharu, kami akan membelanjakan lebih banyak wang untuk melantik dan melatih lebih ramai ranjer serta menubuhkan lebih banyak stesen untuk memantau hidupan liar ini.

“Kementerian juga akan bekerja lebih rapat dengan polis dan penduduk kampung.”

Terdahulu, dilaporkan bahawa Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, mendedahkan bahawa gajah pigmi betina yang ditemui di Kinabatangan itu mempunyai kolar satelit dengan identifikasi “Girang”, biasanya dipasang oleh penyelidik untuk pengesanan.

Tuuga berkata mereka menerima maklumat daripada seorang pengurus ladang selepas salah seorang pekerjanya menemui bangkai haiwan itu dalam longkang di jalan perladangan di Ladang Kelapa Sawit Melangking (MOPP) pada jam 5.50 pagi, Sabtu lepas.

Selepas dimaklumkan, Jabatan itu pergi ke tempat kejadian bersama-sama polis dan beberapa penyelidik dari Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) serta pertubuhan bukan kerajaan, Hutan.

Beliau juga berkata, mereka akan cuba mendapatkan data mengenai pergerakan gajah itu serta mencari apa juga maklumat berkaitan apa yang berlaku.

“Girang” adalah salah satu daripada tiga ekor gajah yang dipasang kolar satelit sebagai sebahagian daripada program penyelidikan saintifik oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memantau dan menganalisa pergerakan kawanan gajah di Santuari Hidupan Liar Kinabatangan Bawah.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here