Tangguh Pas Sabah Sementara hingga PRU15: Joniston
Published on: Wednesday, November 20, 2019
By: Sherell Jeffrey
ADUN Kiulu, Datuk Johniston Bangkuai (gambar), mencadangkan agar cadangan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) ditangguhkan sehingga pilihan raya akan datang.
Ketika membahaskan belanjawan negeri 2020, di sini, pada Isnin, Bangkuai berkata ramai berpendapat bahawa pendekatan PSS tidak sesuai.
ADVERTISEMENT
“Warga asing tanpa dokumen harus dihantar pulang ke negara mereka walaupun mereka bekerja di sini. Mereka harus mendapatkan dokumen yang sepatutnya dari negara masing-masing, bukannya kita berikan dokumen kepada mereka kerana jika kita melakukan perkara itu, kita menghantar isyarat yang salah,” katanya.
“Jika kerajaan melaksanakan perkara ini, saya ada beberapa soalan. Jika memberikan dokumen kepada rakyat asing yang ada di Sabah adalah sebahagian daripada perancangan awal mereka, mungkin ia harus dimasukkan dalam manifesto mereka dan beritahu rakyat bahawa apabila mereka menang kelak, mereka akan keluarkan pas seperti PSS kepada rakyat asing,” tambahnya.
Menurutnya, PSS harus ditangguhkan dan apabila pilihan raya tiba, dimasukkan dalam manifesto, khususnya memandangkan Ketua Menteri ketika membentangkan cadangan belanjawan itu berkata mereka mempunyai manifesto untuk ditunaikan.
“Hadi, dalam pilihan raya akan datang, letakkan ia dalam manifesto dan beritahu rakyat bahawa kamu akan mengeluarkan PSS kepada 600,000 warga asing di Sabah jika kamu menang, kita lihat rekasi rakyat,” katanya.
ADVERTISEMENT
Beliau juga berkata ini juga adalah satu kata dua sama ada rakyat bersetuju atau tidak dengan PSS.
“Tapi pendirian kami jelas, mereka harus dihantar pulang dahulu, jika mereka jujur untuk mahu bekerja di Sabah, mereka harus pulang ke negara asal, dapatkan dokumen yang teratur dari negara asal mereka sebelum datang ke sini.
ADVERTISEMENT
“Kita tidak menghalang mereka tapi ia harus dengan dokumen yang sepatutnya dari negara mereka. Mereka boleh datang bekerja di sini berdasarkan keperluan kerja di Sabah,” katanya.
Beliau juga mencadangkan agar kerajaan berbincang dengan rakannya di Filipina untuk mencari penyelesaian terbaik.
“Saya ada baca di akhbar bahawa kerajaan Filipina bersedia mengambil mereka semula, jadi adalah lebih baik untuk berbincang agar perkara ini tidak berterusan. Selepas semuanya dimuktamadkan, kita boleh kuatkuasakan kuasa imigresen kita secara agresif,” katanya.
Menyentuh perkara lain, beliau mencadangkan agar kerajaan berusaha mendapatkan bahagian lima peratus dahulu daripada Persekutuan melihat kepada kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa 20 peratus ‘tidak boleh dilaksanakan”.
“Jika 20 peratus adalah terlalu berat, sekurang-kurangnya kita cuba nasib dengan meminta lima peratus dahulu buat masa ini. Saya yakin Kerajaan Persekutuan sedar akan keperluan kita kerana Sabah masih jauh ketinggalan khususnya apabila bercakap mengenai infrastruktur di luar bandaraya,” katanya.
Beliau juga mencadangkan agar kerajaan menimbang untuk menambah dana bagi sekolah-sekolah persendirian bukan Islam dan sekolah-sekolah mubaligh, kerta menimbang untuk memberikan elaun kepada pastor.
Selain itu, beliau mencadangkan agar Projek Perumahan Rakyat dilaksanakan di luar bandaraya.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
Mengambil contoh yang berlaku di kawasannya, ada penduduk yang mampu untuk memiliki rumah tetapi tidak dapat membina rumahnya kerana kekurangan tanah.
“Saya percaya mereka mampu membeli rumah jika rumah-rumah dibina di kawasan itu,” katanya.