Wed, 17 Apr 2024

HEADLINES :


Kisah rakyat Sabah dalam animasi
Published on: Tuesday, December 03, 2019
Text Size:

Kisah rakyat Sabah dalam animasi
Sabah memang kaya. Bukan sahaja Sabah kaya dengan kepelbagaian alam semula jadi, budaya unik, pantai indah dan makanan yang hebat, tetapi juga rakyatnya yang berbakat.

Yakin sepenuhnya dengan kreativiti dan bakat rakyat Sabah, penerbit animasi Geoffrey Sinn, nekad untuk menggunakan bakat tempatan menjadi sebahagian daripada pasukan produksinya.

“Saya ingin melawan arus dan mengasah bakat animasi tempatan, yang saya percaya tidak kurang hebatnya dalam kalangan rakyat Sabah.

“Sememangnya kita ada ramai bakat. Jadi kenapa menafikan peluang mereka untuk menonjolkan bakat? Sesungguhnya, kami cukup berbangga kerana memiliki bakat kreatif dalam pasukan kami,” katanya.

Untuk membuktikan bahawa Malaysia, secara amnya dan Sabah, khususnya, tidak kurang bakat kreatif, terutamanya dalam animasi, Sinn, dan pasukannya, menghasilkan Legend of Ancient Borneo, sebuah filem pendek animasi yang hampir keseluruhannya dibuat oleh bakat Sabah, dengan sedikit bantuan artis-artis dari Kuala Lumpur dan komposer dari Kuching.

“Legend of Ancient Borneo, filem animasi pertama dalam bahasa Kadazan, merupakan cara kami memberikan penghormatan kepada budaya dan warisan anak negeri Sabah.

 

“Menerusi filem ini, kami berharap dapat meningkatkan industri animasi Sabah dan menyediakan lebih banyak pendedahan mengenai kisah-kisah rakyat Sabah.”

Sinn berkata filem pendek itu dibuat berdasarkan komik fiksyen yang diterbitkan sendiri oleh Robertson Sondoh Jr dan Kwan Thung Seng, dan berpendapat, ia lebih baik diceritakan menerusi animasi.

“Filem ini tidak akan berjaya tanpa bakat tempatan seperti Rizo Leong, yang terkenal dengan pameran ukiran kayu di Perancis dan Jepun serta Boni Mosios, pelakon utama filem Huminodun, yang merupakan narator filem animasi pendek ini,” katanya. Sinn mengakui berdepan beberapa kekangan dalam penghasilan filem pendek terbabit, daripada kekurangan peralatan sehinggalah kepada ketidakstabilan kewangan, tetapi kerja keras mereka membuahkan hasil apabila mereka memenangi Cabaran Pencipta Harta Intelek (IPCC), yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Digital Malaysia (MDEC) pada September tahun lepas.

“Kami mengalahkan kira-kira 84 buah syarikat dari seluruh negara dan memenangi hadiah utama, geran berjumlah RM100,000 daripada MDEC untuk menyiapkan produksi Legend of Ancient Borneo dalam tempoh setahun.

“Filem pendek animasi ini juga telah memenangi anugerah antarabangsa,” kata Sinn, yang merupakan Pengarah Seni Kreatif All for One Production.

Mengenai industri animasi, Sinn menyifatkannya sebagai “perniagaan yang menguntungkan”, dengan nilai keluaran global sekitar AS$250 bilion setakat ini.

“Kami juga percaya negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan, China dan Amerika Syarikat banyak melabur dalam bidang ini. Pasaran animasi yang luas kini sedang mencari cerita-cerita baharu dan segar... ini berita baik untuk kami,” katanya. .

Sinn berkata ketika ini, filem pendek animasi terbabit terus ditayangkan dalam banyak festival filem antarabangsa.

 

“Kami berkongsi kisah asli Sabah kepada khalayak di seluruh dunia. Kami merancang untuk menjalankan siaran perdana Legend of Ancient Borneo di Sabah pada acara Hobbycon pada Disember 2019,” katanya.

Sementara itu, Sinn ketika ini bekerja dengan pasukkannya bagi membangunkan Legend of Ancient Borneo kepada siri televisyen (TV), yang mana mereka harap akan disiarkan di pelbagai saluran TV dan platform striming.

“Kami juga berharap kerajaan Sabah menyokong pertumbuhan industri tempatan dan industri kreatif, bukan sahaja untuk pulangan kewangannya, tetapi juga melihatnya sebagai satu cari untuk mempromosikan budaya dan cerita kita menjadi produk yang mampu dieksport sebagai mengimbangi industri besar lain, seperti pelancongan dan pertanian.

“Sila sokong industri animasi tempatan kita. Sokongan anda bermakna mengiktiraf bakat Sabah. Marilag kita meningkatkan industri ini dan menonjolkan bakat kita kepada dunia,” katanya.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here