ADVERTISEMENT


HEADLINES :




11 kontraktor, 12 perunding Pan Borneo Sabah dilantik semula
Published on: Tuesday, December 03, 2019
By: Bernama


Sumber Gambar: Bernama
Kuala Lumpur: Kementerian Kerja Raya melantik semula 11 kontraktor dan 12 perunding sedia ada bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang dilantik oleh Rakan Penyampai Projek (PDP) sebelum ini.

Menterinya, Baru Bian berkata keputusan itu dibuat bagi memastikan kesinambungan dan kelancaran pelaksanaan projek berkenaan.

“Saya harap mereka akan teruskan kerja dengan melaksana pakej masing-masing dalam masa dan jadual ditetapkan. Kita tidak akan berkompromi dengan itu dan sekiranya cuai atau lambat kita akan menamatkan kontrak kecuali dengan sebab-sebab yang berjustifikasi.

“Kontraktor juga diingatkan untuk pastikan keselamatan pengguna jalan raya diutamakan dan kalau pengguna ada masalah kita terbuka untuk menerima aduan daripada mereka,” katanya di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi penyerahan surat setuju terima (SST) Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah kepada 11 kontraktor dan 12 perunding bagi meneruskan kerja-kerja pelaksanaan projek berkenaan.

Bernama sebelum ini melaporkan selepas penamatan PDP pada 21 September lalu, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah telah diambil alih oleh Kementerian Kerja Raya sebagai pemilik projek.

Ia diserahkan kepada kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Jabatan Kerja Raya Sabah sebagai agensi pelaksana.

Terdahulu, Baru dalam ucapannya berkata keseluruhan projek itu melibatkan 35 Pakej Kerja yang mana 15 Pakej Kerja akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 dengan jangkaan siap pada 2024 dengan anggaran kos keseluruhan projek berjumlah RM10.12 bilion. – Bernama



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular