ADVERTISEMENT


HEADLINES :




Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Anifah
Published on: Tuesday, December 03, 2019
By: Bernama


Anifah (kanan) ketika hadir pada sesi rayuan itu di Mahkamah Persekutuan Istana Kehakiman pada Isnin. — fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Isnin mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi Parlimen Kimanis pada pilihan raya umum lepas, sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya kecil di kawasan itu.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan Anifah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya.

Hakim Tengku Maimun berkata Mahkamah Pilihan Raya tidak melakukan kekhilafan dalam penemuan faktanya.

Beliau berkata terdapat percanggahan dalam proses pemilihan dan ketidakpatuhan undang-undang pilihan raya yang telah menjejaskan keputusan undi.

Beliau memerintahkan Anifah membayar kos RM70,000 kepada calon Parti Warisan Sabah, Datuk Karim Bujang.

Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri David Wong Dak Wah dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Nallini Pathmanathan.

Mahkamah Khas Pilihan Raya pada 16 Ogos tahun ini mengisytiharkan kemenangan Anifah di kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah tidak sah dan terbatal.

Calon Parti Warisan Sabah Datuk Karim Bujang memfailkan petisyen itu pada 18 Jun untuk mencabar keputusan pilihan raya tersebut.

Anifah, bekas menteri luar, memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi apabila memperoleh 11,942 undi berbanding Karim 11,786 undi.

Seorang lagi calon, Jaafar Ismail dari Parti Harapan Rakyat Sabah memperoleh 1,300 undi.

Pada permulaan pendengaran rayuan, peguam Anifah, Ansari Abdullah memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau telah diarahkan untuk memohon supaya tiga hakim menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut iaitu Hakim Tengku Maimun, Wong dan Nallini dengan alasan, mereka telah menganggotai panel yang mendengar rayuan awal mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, permohonan itu ditolak oleh Hakim Tengku Maimun.

Pada 18 Feb tahun ini, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Wong, memerintahkan petisyen yang difailkan Karim dibawa semula ke Mahkamah Pilihan Raya untuk perbicaraan selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan keputusan awal Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan petisyennya.

Pada 19 Nov 2018 Hakim Mahkamah Pilihan Raya Supang Lian menolak petisyen pilihan raya Karim.

Petisyen itu dibicarakan semula di hadapan Hakim Mahkamah Pilihan Raya Lee Heng Chung yang kemudiannya membatalkan keputusan pilihan raya kawasan tersebut, memutuskan bahawa kehadiran kertas undi tambahan telah mempengaruhi keputusan pemilihan di kawasan itu.

Anifah yang memakai sut hitam dan bertali leher merah hadir pada awal prosiding mahkamah bagaimanapun beliau keluar sebelum keputusan diumumkan.

Karim diwakili peguam Frederick Chang Tyn Chi manakala peguam Muammar Julkarnain dan Faizal Sarbi mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata pilihan raya kecil (PRK) Kimanis perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima akuan daripada mahkamah mengenai keputusan itu.

Mesyuarat bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRK itu pula mesti diadakan dalam tempoh tidak kurang daripada empat hari dan tidak lebih daripada 10 hari dari tarikh penerimaan akuan tersebut, katanya menerusi aplikasi Whatsapp.

Sementara itu, Azhar berkata SPR akan mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan insiden ketidakpatuhan peraturan pilihan raya sehingga menjejaskan keputusan pilihan raya.

“Sebelum ini pun, Akademi Pilihan Raya yang bertanggungjawab melatih petugas-petugas pilihan raya telah diarahkan untuk memberi penekanan terhadap hal ini.

“Perlu dilihat bahawa sejak PRU14, tidak ada lagi apa-apa tuduhan perlanggaran peraturan-peraturan pilihan raya oleh petugas-petugas pilihan raya pada sembilan pilihan raya kecil (PRK),” katanya. – Bernama



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular