62 ahli Parlimen tidak isytihar harta
Published on: Friday, December 06, 2019
By: Bernama
Gambar fail dari Bernama.
Kuala Lumpur: Semua 139 ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) telah mengemukakan borang akuan pengisytiharan harta kepada Dewan Rakyat setelah tempoh berbuat demikian berakhir pada Khamis.Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata mereka adalah antara 160 ahli Parlimen yang telah menyerahkan borang akuan itu selain BN seramai tiga orang, GPS (14); PSB, PBRS dan PBS masing-masing satu.
ADVERTISEMENT
Sementara seramai 62 ahli Parlimen lagi belum berbuat demikian iaitu BN 38 orang, PAS (18), GPS (tiga), STAR (satu) dan bebas dua.
“Rekod saya menunjukkan semua ahli Parlimen PH telah mengisytiharkan harta mereka kepada Speaker Dewan Rakyat dengan satu salinan pengisytiharan telah diberi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Bermakna selebihnya daripada GPS, PAS dan rekod menunjukkan satu atau dua dari BN yang telah memfailkan pengisytiharan mereka,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen pada Khamis.
Pada 1 Julai lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua ahli Parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak serta pemegang amanah dalam Akuan Berkanun dalam tempoh tiga bulan sebelum ia dilanjutkan pada 5 Disember.
ADVERTISEMENT
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
Di bawah Perintah Parlimen juga, ahli Parlimen boleh didenda RM1,000 atau digantung daripada Dewan sekiranya tidak berbuat demikian.
Dalam pada itu Liew berkata kelewatan penyerahan borang akuan pengisytiharan harta hanya dibenarkan kepada ahli Parlimen yang telah meminta kebenaran daripada pihak Speaker Dewan. – Bernama