Sat, 20 Apr 2024

HEADLINES :


Komitmen usaha selamatkan gajah Borneo
Published on: Friday, December 06, 2019
By: Larry Ralon
Text Size:

Komitmen usaha selamatkan gajah Borneo
LIEW (kanan) dan Vivek (kedua dari kanan) melakukan gimik semasa acara tersebut.
Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal senang hati dengan respons dan komitmen kukuh daripada industri minyak sawit Malaysia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mencari penyelesaian jangka panjang untuk menyelamatkan gajah Borneo di Sabah.

“Menyelamatkan gajah-gajah kita adalah satu kecemasan. Saya telah membuat gesaan supaya semua pemegang taruh, termasuk industri, untuk menyertai Sabah dalam perkara segera ini.

“Saya senang hati menerima respons dan komitmen kukuh daripada industri minyak sawit Malaysia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mencari penyelesaian jangka panjang. Adalah harapan saya bahawa kita, sama-sama sebagai kerajaan, industri, aktivis pemuliharaan dan masyarakat sivil, akan menemui hala tuju yang kita semua cari, untuk menyelamatkan gajah-gajah Borneo di Sabah.

“Ia tidak terlalu lewat untuk menyelamatkan gajah Borneo. Kita tidak harus teragak-agak untuk mengambil tindakan drastik dan memulakan program pemuliharaan yang akan mewujudkan matlamat utama untuk memiliki landskap lestari bagi menyokong populasi gajah yang giat membiak dan bergerak bebas di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila merasmikan pembukaan Mesyuarat Kumpulan Pakar Gajah Asia (AsESG) ke-10 Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam (IUCN) di Shangri-La’s Tanjung Aru Resort and Spa di sini pada Khamis.

Ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew.

Bangga dan berbesar hati bahawa Sabah telah dipilih oleh IUCN AsESG sebagai venue untuk acara itu, Mohd Shafie berkata, antara negeri-negeri di Malaysia, Sabah selama ini berada di barisan depan pemuliharaan hidupan liar.

“Namun begitu, kami tidak sempurna, kerana kami memang mempunyai cabaran. Tahun-tahun kebelakangan ini menyaksikan peningkatan dramatik dalam konflik manusia-hidupan liar, yang amat menguji keseimbangan kritikal penggunaan tanah antara habitat hidupan liar dan aktiviti cetusan manusia.

“Ini amat jelas berdasarkan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam populasi gajah Borneo, di mana 145 gajah dilaporkan terbunuh antara 2010 dan 2019. Kebanyakan kematian ini berlaku di ladang kelapa sawit atau hutan simpan yang berdekatan dengan ladang. Kira-kira separuh daripada kematian itu sama ada disebabkan oleh luka tembakan atau disyaki keracunan sementara banyak lagi masih tidak dapat diselesaikan.

“Saya yakin bahawa mesyuarat ini adalah venue terbaik untuk berbincang secara terbuka dan mencari penyelesaian pragmatik untuk menangani peningkatan mortaliti dalam populasi gajah Sabah ini. Dengan berkongsi pengalaman, kesilapan dan amalan terbaik dalam pemuliharaan gajah dan pengurusan konflik manusia-hidupan liar, saya berharap sokongan teknikal dan nasihat terus-terang dapat diberikan mengenai pemuliharaan jangka panjang populasi gajah Borneo di Sabah,” katanya.

Terdapat kira-kira 1,500-2,000 gajah Borneo yang merayau di seluruh hutan dan kawasan diusahakan di pantai timur Sabah.

“Masanya sudah tiba untuk kita menyedari hakikat bahawa kita mesti melayan gajah dengan rendah hati dan penuh hormat. Melalui pengosongan tanah dan perkongsian tanah, kita mesti mula wujud bersama dengan gajah-gajah Borneo kita,” katanya.

Beliau berkata baru dua minggu lalu, badak sumbu Sumatera terakhir Malaysia bernama Iman telah mati, selepas badak sumbu hidup berjuta tahun di hutan Sabah.

“Kerajaan Sabah telah berusaha sedaya upayanya untuk merawat Iman, di samping menuai sel telur badak sumbu betina terakhir di negara ini. Malangnya, Iman menghidap kanser dan tidak dapat diselamatkan…kematiannya cukup menyedihkan.

“Kita sekarang mesti berusaha ke arah mengubah huruf ‘C’ dalam HEC (Human-Elephant Conflict) daripada konflik kepada kewujudan bersama (co-existence). Kita tidak akan kehilangan gajah Borneo sebagaimana kita kehilangan badak sumbu kita, tidak semasa pengawasan saya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi AsESG Vivek Menon, dalam ucapan alu-aluannya memberi hormat kepada Kerajaan Sabah atas segala usaha yang dibuat untuk melindungi gajah Borneo.

Beliau berkata, AsESG gembira mendapati pelan tindakan pemuliharaan gajah Sabah yang sedang dirangka hampir siap dan sedia dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet Negeri Sabah.

“Kami sangat gembira kerana kami tidak berhasrat untuk membuat sebarang tindakan tanpa pelan tindakan,” katanya, dan menambah, AsESG sedar mengenai cabaran yang dihadapi di Sabah berhubung pemuliharaan gajah Borneo dan akan mememberikan bantuan mereka dalam mengatasinya.

Katanya juga, di negaranya di India, harimau merupakan haiwan kebangsaan mereka tetapi gajah merupakan warisan negara mereka.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Arifin Asgali, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Assafal P Alian, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk William Baya, dan Pengarah Jabatan Hidupan Liar Negeri Augustine Tuuga, antara lain, turut hadir.

Pertemuan tiga hari itu, dianjurkan bersama oleh (pengerusi) Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Jabatan Hidupan Liar Sabah (sekretariat), WWF Malaysia, HUTAN, Pusat Penyelidikan Danau Girang (DGFC) dan Seratu Aatai, dihadiri oleh anggota-anggota AsESG, pegawai kerajaan daripada 13 negara yang mempunyai gajah Asia, serta penceramah dan pemerhati daripada sembilan negara ‘bukan gajah’ lain.

Ia bertujuan bagi memberi peluang kepada pakar-pakar mengenai gajah Asia melihat daripada pelbagai aspek hidupan liar dan kurungan serta menyediakan sokongan teknikal kepada kerajaan dan lain-lain mengenai pemuliharaan jangka panjang spesies itu; untuk berkongsikan amalan terbaik mengenai pemuliharaan gajah dan pengurusan konflik manusia-hidupan liar di negara-negara yang mempunyai gajah Asia; untuk membentang dan membincangkan laporan status daripada negara-negara yang mempunyai gajah Asia; dan untuk menunjukkan Strategi Pemuliharaan Gajah Asia Sabah kepada dunia.

AsESG, sebuah rangkaian pakar global (kedua-dua saintis dan bukan saintis) yang berkaitan penyelidikan, pemantauan, pengurusan dan pemuliharaan Gajah Asia (Elephas maximus), merupakan badan Suruhanjaya Kemandirian Spesies IUCN yang terlibat dalam penyelidikan, pemantauan, pengurusan dan pemuliharaan gajah Asia.

Matlamat keseluruhan AsESG adalah untuk mempromosikan pemuliharaan jangka panjang gajah di Asia dan, jika mungkin, pemulihan populasi haiwan itu pada tahap berdaya maju. Kesemua anggotanya terlibat secara aktif dalam beberapa aspek pemuliharaan dan / atau pengurusan gajah.

Ketika ini terdapat lebih 90 anggota sukarelawan, yang diketuai Menon, yang mana keanggotaannya dikaji dan dilantik semula setiap tiga hingga empat tahun. 





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here