Sat, 20 Apr 2024

HEADLINES :


Sasaran 100 usahawan setahun
Published on: Saturday, December 07, 2019
By: Larry Ralon
Text Size:

Sasaran 100 usahawan setahun
PHOONG (duduk, tengah) bergambar bersama peserta dan mentor program.
Kota Kinabalu: Penganjur V Creator 3 Days Start-up Camp merancang untuk mengadakannya dua kali setahun dengan harapan melahirkan 100 usahawan muda setahun di Sabah.

Kem ini adalah sebuah projek yang dimulakan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS), Malaysia Entrepreneurs Development Association (PUMM), GA Space Sdn Bhd dan Vistage Malaysia, dengan Daily Express sebagai rakan media.   Naib Presiden Kebangsaan PUMM merangkap Pengerusi Perhubungan Negeri Sabah dan CEO Kumpulan G&A, Datuk George Lim berkata kira-kira 50 peratus daripada 50 peserta kem pertama ini datang dari seluruh Sabah.

Beliau berkata mereka adalah usahawan baharu sementara selebihnya telah pun menjalankan perniagaan selama dua hingga tiga tahun.

“Mereka juga amat gembira dengan respons yang diterima untuk kem ini.

“Ini adalah permulaan perjalanan mereka. Kami, sebagai pencipta, mencipta program ini untuk melatih lebih ramai pencipta. Pencipta sama seperti seorang usahawan. Kami mencipta perniagaan yang kami sukai. Kami mahu mencipta lebih ramai usahawan muda dan membantu mereka yang bercita-cita untuk menjadi usahawan,” katanya, pada Jumaat.

Oleh sebab kira-kira 90 peratus usahawan gagal dalam usaha niaga masing-masing, beliau berkata penganjur berharap bahawa melalui program itu mereka (peserta) akan mendapat idea bagaimana untuk berjaya dan pada masa yang sama mendapat sokongan daripada mereka yang sudah terbabit dalam keusahawanan.

“Satu perkara mengenai keusahawanan adalah mereka orang yang amat kesunyian. Idea mereka unik dan hanya mereka sendiri yang memahami perniagaan mereka serta masalah yang mereka hadapi. (Tetapi) dengan adanya satu kumpulan sokongan yang disediakan melalui kem ini, mereka akan boleh mendapat pengetahuan dan mempunyai keyakinan dalam diri mereka,” katanya.

Lim mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Sabah Phoong Jin Zhe, yang merasmikan pembukaan kem itu, kerana memberi jaminan bantuan di bawah dana keusahawanan Kementeriannya bagi mereka yang berjaya membuat pitch dalam kem itu.

Fasilitator kem, Vincent Chew, yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang fasilitasi perniagaan berkata, usahawan muda dan bakal usahawan memerlukan banyak sokongan, bukan saja dari segi dana tetapi juga kemahiran.

Ditanya pandangan beliau mengenai peserta kem itu, Chew berkata, mereka cukup aktif, bertenaga dan penuh semangat.

“Jadi saya fikir Sabah mempunyai dasar yang amat baik. Cuma pendedahan perlu lebih banyak. Pendedahan bukan saja dalam Sabah, kerana mereka perlu berfikir di luar Sabah…sebab Sabah belum lagi menjadi sebuah pasaran besar tetapi terdapat banyak sumber di sini yang saya rasa belum dimanfaatkan,” katanya. Mengenai nasihat kepada mereka yang berminat untuk menyertai kem seterusnya, Chew berkata ia amat mudah, mereka perlu cuba saja.

“Mereka perlu menyertai dan mencubanya, mereka perlu betul-betul menerokainya.

“Ini tiada kaitan dengan kegagalan. Kegagalan hanya sebahagian daripada pembelajaran. Tanpa gagal, tanpa membuat kesilapan, bagaimana kita tahu ia akan berjaya atau tidak. Jadi mereka hanya perlu cukup berani untuk menerokai dan kemudian gagal…kerana gagal adalah sebahagian daripada kejayaan.”

Terdapat 20 mentor daripada organisasi perniagaan terkenal mengambil bahagian dalam kem itu, termasuk Timbalan Pengurus Besar Sabah Publishing House Sdn Bhd (SPH), Lawrence Yeh, yang berkata beliau dapat lihat bahawa peserta-peserta kebanyakannya berada di landasan yang betul kerana mereka mempunyai banyak idea.

“Tetapi mereka memerlukan banyak input daripada pemain bidang perniagaan yang mereka minat,” katanya.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here