Fri, 19 Apr 2024

HEADLINES :


Aktiviti pertanian, bina rumah punca kejadian tanah runtuh
Published on: Tuesday, December 10, 2019
By: Ottey Peter
Text Size:

Aktiviti pertanian, bina rumah punca kejadian tanah runtuh
KOTA KINABALU:  Aktiviti pertanian dan pembinaan rumah di atas bukit yang dijalankan tanpa kelulusan dikatakan menjadi punca tanah runtuh pada KM96.7 di Jalan Kota Kinabalu-Sandakan (antara Kundasang dan Ranau) pada malam Ahad lepas.

Mujurlah tidak ada kenderaan yang melewati kawasan tersebut ketika kejadian tanah runtuh itu berlaku pada jam 9.40 malam yang menjejaskan kawasan seluas 80m x 15m x 10m, menyebabkan penutupan lalu lintas dari kedua-dua belah.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony, yang melawat tapak kejadian pada Isnin, berkata beliau telah meminta Majlis Daerah Ranau mengarahkan pemilik tanah menghentikan aktiviti itu kerana ia tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

Kerja-kerja pembaikan jalan akan dilakukan hari ini (Selasa) selepas pertemuan dengan pihak berkuasa yang terlibat, katanya, sambil menasihatkan pengguna jalan yang ingin ke Ranau dari Kota Kinabalu dan sebaliknya supaya menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Kampung Dumpiring-Mohimboyon-Kibbas, Jalan Kibbas -Mohimboyon-Dumpiring dan Jalan Pinosuk-Kauluan-Kundasang.

“Penyebab sebenar tanah runtuh itu adalah aktiviti pertanian dan pembinaan rumah di atas bukit di mana tanah runtuh itu berlaku. Kami tidak pasti jika aktiviti penarahan tanah itu telah diluluskan oleh pihak berkuasa berkenaan. Menurut JKR, mereka tidak pernah membenarkannya tetapi kami akan terus memantau keadaan di sana.

“Buat masa ini, kami telah mengarahkan pemilik tanah untuk segera menghentikan sebarang aktiviti di kawasan berkenaan sehingga kami mencapai persetujuan bersama.

“Kami akan membuat keputusan esok (hari ini) selepas bertemu dengan mereka yang terlibat sama ada kami akan menggunakan kaedah jambatan Bailey atau mengalihkan tanah runtuh dan mewujudkan laluan sementara,” katanya kepada media.

Kira-kira 2.6 hektar tanah terjejas oleh kejadian tanah runtuh itu, kata Anthony, sambil menambah bahawa polis telah mengarahkan penduduk kampung yang tinggal berhampiran kawasan itu agar berpindah kerana lebih banyak tanah runtuh dijangka berlaku jika hujan berterusan.

Beliau berkata dua penduduk kampung telah membuat laporan polis berhubung kejadian tanah runtuh kerana ia mengikis tanaman dan rumah mereka.

“Kami percaya akan ada lebih banyak laporan dan kami berharap isu ini akan dapat diselesaikan segera,” kata Anthony.

JKR, dalam kemas kini WhatsApp, mengkategorikan kejadian tanah runtuh itu sebagai berbahaya dan bencana itu disebabkan oleh hujan lebat. Tiada kehilangan nyawa dan kerosakan kenderaan dilaporkan, katanya.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here