Tue, 16 Apr 2024

HEADLINES :


Atlet Sabah raih emas pada kejohanan gusti lengan dunia di Poland
Published on: Wednesday, December 11, 2019
By: GL Oh
Text Size:

Atlet Sabah raih emas pada kejohanan gusti lengan dunia di Poland
KOTA KINABALU: Atlet Sabah, Joffey Jolly mengejutkan dunia gusti lengan apabila memenangi pingat emas bersejarah pada Kejohanan Gusti Lengan Dunia Terbuka IFA yang berlangsung di Rumia, Poland dari 3-6 Disember.

Ia adalah pingat emas pertama yang dimenangi oleh seorang atlet Malaysia di kejohanan gusti lengan dunia dan beliau meraihnya dengan kemenangan mengejut ke atas Yurii Dushko dari Ukraine di final kategori tangan kanan Lelaki Senior 70kg.

Atlet gusti lengan profesional dari Telipok itu, yang turut memenangi gangsa dalam kategori tangan kiri, sangat gembira dengan kejayaannya di peringkat dunia, dan mengakui dia tidak menjangka akan memenangi emas pada kejohanan sulung itu.

“Saya tidak pernah menjangka akan memenangi emas pada tahun ini. Ia sepatutnya hanya pengalaman pembuka mata buat saya menentang atlet terbaik dari seluruh dunia dalam kejohanan ini.

“Bagaimanapun, saya sangat gembira dengan kejayaan ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya dalam sukan ini terutamanya bapa saya, sebagai jurulatih, atas bimbingan dan sokongan dan saya akan cuba mempertahankan gelaran saya pada tahun depan untuk menaikkan nama negara sekali lagi,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Sementara itu, Presiden Persatuan Gusti Lengan Malaysia, Mohd Zil Fadli berkata emas yang dimenangi oleh Joffey adalah satu pencapaian besar buat kontinjen negara.

“Ini adalah kali pertama kita memenangi pingat emas di kejohanan dunia dan ia adalah pencapaian besar buat kontinjen negara dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada Jofey atas kejayaannya menyumbangkan emas untuk Malaysia.

“Saya tahu dia berlatih begitu keras dengan bapanya untuk membawa kejayaan kepada negara. Dia telah menunjukan peningkatan besar berbanding kejayaan meraih emas dalam pertandingan peringkat Asia di Turki pada 2014, dan saya percaya anak muda ini akan pergi lebih jauh jika dia dapat mengekalkan konsistensinya,” katanya.

Sementara itu, kontinjen Malaysia turut kembali dengan tiga lagi perak dan satu gangsa dari kejohanan itu.

Safuan Mohd Asif dari Putrajaya memenangi perak dalam kategori tangan kanan Lelaki Senior 57kg, dan satu gangsa dalam kategori tangan kiri, sementara atlet dari Sarawak, Abigail Kee Zing Ning menyampaikan dua perak dalam kategori Perempuan Junior Bawah-15.

Ketua delegasi, Jolly Johnson, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Gusti Lengan Sabah (Sawa) dan bapa Jofey, gembira dengan pencapaian itu walaupun tidak ada sasaran spesifik ditetapkan untuk kontinjen itu sebelum ini.

“Saya sangat bangga dengan atlet gusti lengan kita dengan kejayaan di Poland mewakili Malaysia dengan Joffey memenangi pingat emas untuk kontinjen.

“Ia membuktikan latihan lima hari seminggu yang kami jalani selama dua bulan tidak sia-sia dan tahniah juga kepada Safuan Asif dan Abigail Kee kerana memenangi perak dan gangsa untuk pasukan,” katanya.

“Tidak lupa juga untuk mengucapkan tahniah dan merakamkan terima kasih kepada pengurus pasukan dan Presiden Persatuan Gusti Lengan Malaysia Mohd Zil Fadli atas usahanya untuk memastikan pasukan dapat bersaing pada kejohanan itu.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Sabah dan Timbalan Presiden Myarm, Stephen Kee atas sokongan dan bantuan kewangan mereka,” tambahnya.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here