‘Pelancongan luar bandar berasas komuniti makin popular di Sabah’
Published on: Sunday, December 15, 2019
KOTA BELUD: Pelancongan luar bandar berasaskan komuniti semakin popular di negeri ini berikutan diminati oleh pelancong dalam dan luar negara, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew (gambar).
Beliau berkata ini terbukti melalui pencapaian beberapa pengusaha ekopelancongan luar bandar berasaskan komuniti yang berjaya menjana pendapatan lumayan.
ADVERTISEMENT
Katanya antara kawasan yang popular dalam kalangan pelancong selain Kadamaian ialah Kiulu, Tambunan dan Ranau.
“Ini secara tidak langsung akan menjadi sumber pendapatan dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk kampung berkenaan,” katanya ketika merasmikan Pesta Badi Tamu Taginambur Kadamaian dekat sini, pada Jumaat.
Sehubungan itu, Liew yang juga timbalan ketua menteri Sabah berkata kerajaan menerusi kementeriannya komited membangunkan Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT).
Ini kerana, katanya, pelancong kini lebih suka mengunjungi kawasan luar bandar untuk mempelajari budaya, tradisi, makanan, seni kraftangan dan cara hidup masyarakat setempat.
ADVERTISEMENT
“Saya melihat kawasan Kadamaian amat berpotensi untuk dimajukan sebagai pusat pelancongan berasaskan komuniti kerana mempunyai sumber alam semulajadi yang indah dan menarik seperti sungai dan hutan serta pemandangan yang indah dengan berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu,” katanya.
Mengenai Pesta Badi, Liew berkata ia unik dan menarik kerana mempamerkan kepelbagaian budaya masyarakat Kadamaian serta turut membantu mempromosikan kawasan Kota Belud sebagai antara pusat pelancongan yang menarik di negeri ini.
ADVERTISEMENT
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
Beliau berkata kementeriannya memberi sumbangan sebanyak RM30,000 sebagai sokongan untuk menjayakan Pesta Tamu Badi Taginambur yang akan menjadi acara tahunan dan dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sabah.
Katanya ia juga merupakan sebahagian daripada aspirasi dalam Pelan Pembangunan Kadamaian iaitu untuk mewujudkan satu acara tahunan beridentitikan Kadamaian yang ditaja oleh kerajaan negeri Sabah. – Bernama