Thu, 25 Apr 2024

HEADLINES :


Inanam perlu Pusat Pendidikan Alam Sekitar dan Informasi Pelancongan
Published on: Sunday, December 15, 2019
By: Cynthia D Baga
Text Size:

Inanam perlu Pusat Pendidikan Alam Sekitar dan Informasi Pelancongan
INANAM: Sebuah Pusat Pendidikan Alam Sekitar dan Informasi Pelancongan perlu dibina di Inanam, kata Pembantu Menteri Kewangan Negeri, Kenny Chua.

Chua, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Inanam, berkata pusat itu adalah untuk keselesaan masyarakat Inanam bagi mendapatkan pendidikan berterusan dan maklumat berkaitan alam sekitar.

“Selain pendidikan mengenai alam sekitar, masyarakat di sini juga bolh mendapatkan bantuan untu membangunkan dan meningkatkan sosioekonomi menerusi industri eko-pelancongan.

“Saya akan mendapatkan kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan untuk merealisasikan pusat ini,” kata Chua.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada pameran dan taklimat Rizab Biosfera Banjaran Crocker (CRBR) yang diadakan di pusat rekreasi Air Terjun Kionsom, di sini, Sabtu.

Menurut Chua, pusat itu penting kerana daerah mengundinya masih mempunyai karakter alam sekitar bernilai tinggi dan akan menjadikannya sebagai sebuah tarikan kepada pelancong yang gemar meneroka dan menikmati kekayaan hutan tropika.

“Saya melawat beberapa kampung di sini dan saya mendapati banyak kampung yang berpotensi menjadi tarikan ​​​​​​​pelancong kerana ia kaya dengan flora dan fauna serta tarikan lain seperti denai dan air terjun.

“Dan saya harap kita semua akan berganding bahu untuk memastikan rizab biosfera Banjaran Crocker di sini akan dilindungi sebaiknya.

“Saya menyokong penuh program ini bukan saja diadakan pada hari ini tetapi juga dengan kerap agar pemuliharaan di kawasan saya ditingkatkan, sekali gus menjadi tarikan utama pelancong,” kata Chua.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Taman-Taman Sabah Ludi Apin yang mewakili Pengarah Taman-Taman Sabah, berkata program itu adalah jerayawara menjelang Hari Komuniti CRBR yang bakal diadakan pada 11-12 Jun tahun depan di Penampang.

Ludi berkata program itu diadakan untuk memberikan penjelasan mengenai matlamat dan manfaat deklarasi CRBR kepada komuniti yang tinggal di kawasan rizab, dan menambah, program terbabit bermula di Kg Madsiang, Penampang pada 14 November tahun ini.

Menurut Ludi, terdapat 686 Rizab Biosfera di 122 negara dan Malaysia hanya mempunyai dua, iaitu Tasik Chini di Pahang dan Banjaran Crocker di Sabah.

“CRBR terdiri daripada sembilan kawasan iaitu Penampang, Tuaran, Papar, Beufort, Tenom, Keningau, Tambunan, Ranau dan juga Kota Kinabalu.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan dan Hubungan Antarabangsa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Fauziathon Ag Samad.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here