HEADLINES :




Aman, harmoni  lonjak imej  negara di mata dunia
Published on: Tuesday, January 14, 2020
By: Sherell Jeffrey
Text Size:

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal percaya keamanan dan keharmonian yang dinikmati walaupun berbeza agama dan budaya memberikan gambaran baik kepada negara di mata dunia.

“Saya harap negara kita sentiasa dirahmati untuk masa depan lebih baik,” katanya semasa melancarkan Karnival Tahun Baharu Cina 2020 di Lintasan Deasoka, di sini, pada Ahad.

Ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.

“Saya sangat gembira kerana kita boleh meraikan setiap cuti perayaan dengan saling menghormati dan tolak ansur,” katanya.

Beliau berkata ini adalah beberapa faktor yang menjadikan Sabah model contoh terbaik di Malaysia dengan masyarakat berbilang kaum dan agama yang hidup dalam keadaan gembira, aman, makmur dan saling menghormati antara satu sama lain.

Katanya, sambutan menggalakkan daripada rakyat pada majlis itu mencerminkan sokongan kuat mereka terhadap Kerajaan Negeri hari ini dan secara tidak langsung menghargai usaha yang dilakukan Kerajaan untuk menceritakan bandaraya dengan mengadakan festival perayaan di negara ini.

“Menerusi acara seumpama ini, kerajaan akan dapat membangunkan sektor pelancongan di negara kita khususnya di Sabah.

“Ini kerana keamanan negara menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia. Peningkatan ketibaan pelancong membuktikan negara kita menjadi destinasi pelancongan pilihan oleh masyarakat dunia.

“Ini pastinya memberikan impak sangat positif terhadap pembangunan politik, ekonomi dan sosial Sabah,” katanya.

Beliau menggesa rakyat Sabah supaya terus memberikan kepercayaan dan sokongan penuh kepada kerajaan untuk memastikan kestabilan dan keharmonian di negeri ini.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa semua agenda pembangunan yang dirancang oleh Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan secara konsisten untuk kepentingan semua dan generasi masa depan.

Sementara itu, Karnival Tahun Baharu Cina itu yang dianjurkan bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Gabungan Persatuan Cina Sabah yang diketuai Pengerusi Majlis Tan Sri TC Goh, diadakan selama empat hari sehingga 15 Januari.

Pelbagai program diadakan, seperti persembahan bunga api, tarian singa, koir, persembahan sekolah, Bazar Tahun Baharu Cina, dan sebagainya.

Turut hadir, Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu Liang Caide, Mayor Datuk Nordin Siman, Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Zaini Jass, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Janet Chee, Pengarah Urusan Sabah Publishing House Datuk Clement Yeh, pemimpin komuniti dan pemimpin persatuan Cina, antara lain. 

 


ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular