Tue, 23 Apr 2024

HEADLINES :


Madius cabar Zahid pegang janji
Published on: Wednesday, January 15, 2020
By: Hayati Dzulkifli
Text Size:

Madius cabar Zahid pegang janji
MEMBAKUT: Pengerusi Barisan Nasional merangkap Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang baru-baru ini bersumpah untuk memberi balik 100 peratus hak-hak Sabah seperti yang dinyatakan dalam MA63 (Perjanjian Malaysia) sekiranya Barisan Nasional kembali berkuasa dalam pilihan raya umum akan datang, sehubungan itu mesti bersedia untuk mengembalikan salah satu hak asal Sabah iaitu mesti tiada agama rasmi negeri ini.

Presiden Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata beliau tertanya-tanya sama ada Zahid benar-benar memahami kandungan hak-hak Sabah dalam MA63 dan sama ada BN / Umno mahu mengembalikan hak itu kepada rakyat Sabah.

Beliau berkata Zahid tidak harus mengambil ringan perkara-perkara MA63 atau mengusiknya sewenang-wenangnya kerana ia boleh makan diri dan menjejaskan perikatan (BN).

“Zahid adalah seorang kawan saya dan saya menasihati beliau supaya berhati-hati dengan apa yang beliau janjikan kerana salah satu hak Sabah dalam MA63 adalah apa yang rakyat Sabah betul-betul pegang dan sensitif kepada kami, iaitu untuk Sabah tidak mempunyai agama rasmi.

“Adakah Umno bersedia untuk mengembalikan hak ini kepada kami? Di Sarawak, negeri itu tidak mempunyai agama rasmi kerana itulah yang dinyatakan dalam MA63 yang dipersetujui pemimpin masa lalu ketika membentuk Malaysia,” katanya. [Ketetapan tiada agama rasmi dilenyapkan oleh pentadbiran Usno].

Tangau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata demikian semasa kempen berlangsung di kediaman seorang anggota Upko. Kira-kira 700 ahli Upko menghadiri ceramah tersebut.

Beliau juga menerima keahlian Upko baharu daripada lebih 200 orang dari parti pembangkang ke parti itu (Upko). Upko Kimanis mempunyai kira-kira 1,300 ahli dan digesa membuang undi untuk calon Warisan Datuk Karim Bujang pada 18 Januari.

Hadir sama Menteri Undang-undang merangkap Pengerusi Tetap Warisan Datuk V.K. Liew, calon Warisan Datuk Karim Bujang, jawatankuasa utama Upko, ahli Majlis Tertingginya, Ahli Parlimen DAP Sandakan Vivian Wong dan pemimpin lain daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Tangau menggesa ahli Upko dan pengundi Upko dalam pilihan raya kecil Kimanis agar tidak melihat Zahid sebagai wira yang berjuang untuk hak Sabah di bawah MA63.

“Apabila Zahid datang lagi di mana-mana di kerusi Parlimen Kimanis, tanya beliau sama ada dia telah belajar dan memahami MA63.

“Ini kerana kandungan dan idea dalam MA63 adalah berdasarkan pada memorandum 20 Perkara yang merupakan hak-hak pertama Sabah dan dimasukkan ke dalam Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan juga dalam Perlembagaan Negeri.

“Bagaimanapun, Perlembagaan Negeri telah dipinda pada 1973 (Agama rasmi negeri adalah Islam). Bagaimanapun, kami akan berterima kasih jika beliau atau BN / Umno benar-benar melakukannya (mengembalikan 100 peratus hak Sabah seperti yang dinyatakan dalam MA63). Tetapi sekali lagi, jika mereka benar-benar melakukannya, apa yang rakan baharu Umno, Pas, akan katakan nanti,” katanya.

Orang-orang di Semenanjung, katanya, agak aneh kerana umat Islam tidak dibenarkan mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada sahabat atau saudara beragama Kristian dan tidak dibenarkan menghantar kad Krismas sedangkan bagi rakyat Sabah, perkara-perkara ini tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka.

Ia adalah amalan dan norma bagi rakyat Sabah untuk mengucapkan “Merry Christmas” kepada mereka yang menyambutnya, dan sebaliknya bagi mereka yang beragama Islam dan warga Cina masing-masing menerima ucapan Selamat Hari Raya dan Gong Xi Fa Cai, daripada orang Kristian.

Oleh itu, beliau berkata, adalah penting bagi rakyat Sabah menolak parti-parti yang mengamalkan politik perkauman seperti Umno yang memberi keutamaan kepada orang Melayu.

“Umno memberi penekanan kepada ketuanan Melayu dan mana-mana ahli Umno yang ingin bertanding sebagai ketua cawangan mesti kedengaran seperti itu, contohnya mengatakan orang Cina adalah pendatang dan juga mengenai kaum lain kerana jika tidak, dia tidak akan dianggap sebagai wira.

“Dan jika ada pemimpin Umno yang ingin bertanding jawatan Majlis Tertinggi atau Naib Presiden, dia mesti menunjukkan tindakan berani dengan menolak permohonan daripada kaum lain,” katanya, sambil mengingati semula satu kejadian ketika beliau berada di semenanjung.

“Saya berada di sana untuk belajar dan amat muda di mana saya teringat Tun Musa Hitam bertanding untuk jawatan Naib Presiden parti dan merupakan Menteri Pelajaran. Ibunya seorang Cina manakala bapanya adalah Melayu.

“Pada masa itu, hanya ada universiti awam dan tidak ada institusi pengajian tinggi swasta. Dengan itu terdapat permohonan daripada masyarakat Cina untuk menubuhkan sebuah ‘Universiti Merdeka’ dan beliau sebagai Menteri Pelajaran mesti menimbang sama ada mahu meluluskannya atau tidak.

“Pada masa itu, seminggu sebelum pemilihan Umno, Musa menolak permohonan itu dan menjadi wira, dan memenangi jawatan naib presiden. Ini adalah politik perkauman Umno dan budaya politik sedemikian tidak boleh dibawa ke Sabah,” kata Tangau.

Beliau berkata satu lagi insiden berlaku pada 2006 apabila penduduk setinggan Sri Tanjung berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sepatutnya dipindahkan ke Kg Maang, Penampang, di mana mereka mengadakan demonstrasi untuk membantah keputusan kerajaan negeri BN/Umno.

Beliau berkata Tan Sri Bernard Dompok yang merupakan Ahli Parlimen Penampang dan Datuk Philip Lasimbang yang merupakan Adun Moyog tidak dihubungi atau dirujuk apabila Kerajaan Negeri pimpinan Umno membuat keputusan itu.

Beliau berkata beberapa pemimpin Umno termasuk Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang kini Ketua Umno Sabah dan bekas Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman mengeluarkan kenyataan untuk meminta Upko meninggalkan BN jika ia mahu bertindak seperti pembangkang dan menentang keputusan kerajaan untuk memindahkan penduduk setinggan ke Kg Maang sedangkan sebahagian besar penduduk setinggan itu adalah pendatang tanpa izin.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here