Sat, 20 Apr 2024

HEADLINES :


Peguam gesa PM ambil tindakan
Published on: Saturday, January 18, 2020
By: David Thien
Text Size:

Peguam gesa PM ambil tindakan
Priscilla (kiri) bersama ibu bapa tersebut serta anak bongsu mereka.
Kota Kinabalu: Peguam bukan-Islam merasakan masanya sudah tiba untuk Kementerian Pendidikan, yang kini di bawah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk mengeluarkan satu arahan muktamad bagi melarang penukaran agama pelajar kepada apa saja agama di sekolah-sekolah.

Seorang peguam warga Sabah yang diambil untuk mengendalikan dakwaan terbaharu penukaran agama seorang pelajar Kristian kepada Islam berkata beliau juga dihubungi peguam-peguam Katolik di semenanjung dan Sarawak, yang bimbang mengenai insiden sedemikian yang terus berulang.

“Ini bukan kes pertama dilaporkan,” kata Priscilla Ruth Marcus, yang diambil oleh ibu bapa pelajar lelaki tersebut di Kota Marudu dalam insiden terbaharu, untuk merujukkan perkara itu kepada mahkamah.

Ibu bapa Vilbon bin Madilan dan Wastinah Mangis telah mengambil keputusan untuk menyaman pihak berwajib berkaitan penukaran agama anak lelaki mereka, anak sulung dalam keluarga lima beranak, oleh seorang Ustaz yang ditempatkan di sekolah itu.

“Arahan anak guam saya adalah untuk mencabar kesahihan penukaran agama anak mereka. Dia masih bawah umur,” kata Priscilla.

“Ibu bapanya tidak tahu mengenai penukaran agama itu. Mereka terkejut apabila mereka mendapat tahu. Pada masa lalu, dua guru dari semenanjung di SMK Lutong di Miri, Sarawak, menukarkan agama seorang pelajar berumur 13 tahun kepada Islam.

“Kementerian Pendidikan bertindak untuk mengakhiri episode itu kerana sebarang cubaan untuk menukarkan agama kanak-kanak bawah 18 tahun kepada sebarang agama tanpa persetujuan ibu bapanya adalah tidak sah.

“Pelajar perempuan terbabit datang daripada sebuah keluarga Kristian dan ia mencetuskan kemarahan komuniti kebanyakan Kristian di Sarawak.”

Satu kontroversi serupa timbul di SMK Kinarut di Sabah apabila seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun dilaporkan ditukarkan agama kepada Islam.

Pesuruhjaya Polis Sabah ketika itu, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata siasatan mereka menunjukkan pelajar itu masih beragama Kristian dan tidak bertukar agama walaupun dia melakukan amalan Islam.

Bapanya, Jilius Yapoo, menegaskan dengan betul bahawa anaknya masih seorang Kristian dan hanya boleh memutuskan agamanya sendiri selepas mencapai 18 tahun.

Kes-kes ini nampaknya mengukuhkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dari komuniti Kristian luar bandar di kedua-dua Sabah dan Sarawak terhadap apa yang mungkin berlaku jika mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang mempunyai kemudahan asrama.

Tinggal berjauhan dari rumah, ibu bapa perlu diberi jaminan bahawa anak-anak mereka pergi untuk mendapatkan pendidikan dan bukan agama baharu.

Walaupun ia perkara biasa untuk guru-guru, khususnya mereka yang taat agama, untuk berkongsi kepercayaan mereka dengan pelajar mereka, ibu bapa memandang perkara ini sebagai sejenis indoktrinasi.

Mereka berkata tanggungjawab guru adalah untuk mengajar, dan dalam kes pelajar asrama, juga untuk menjaga kesejahteraan mereka kerana pelajar-pelajar muda ini berjauhan dari rumah.

Pelajar-pelajar itu masih dianggap bawah umur dan undang-undang amat jelas bahawa agama mereka ditentukan oleh ibu bapa sehingga mereka mencapai umur 18 tahun. Ia juga merupakan pelanggaran Akta Perlindungan Kanak-kanak.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here