Fri, 26 Apr 2024

HEADLINES :


Bukan masa persoal peralihan kuasa: Azmin
Published on: Sunday, January 19, 2020
By: Jeremy S Zabala
Text Size:

Bukan masa persoal  peralihan kuasa: Azmin
BEAUFORt: Pemimpin digesa untuk menyokong Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad sebagai pemimpin Malaysia dan bukan mempersoalkan peralihan kuasa kerana beliau mampu membawa negara ke tahap lebih tinggi.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (gambar) berkata dengan Malaysia dipilih menjadi tuan rumah APEC 2020 yang merupakan tanggungjawab besar bagi negara dan Mahathir bukan hanya pemimpin berkebolehan tetapi juga berpengalaman untuk mempamerkan apa yang mampu negara buktikan.

Katanya, rakyat tidak sepatutnya mempersoalkan peletakan jawatan atau peralihan kuasa tetapi sebaliknya memfokuskan kepada perkara-perkara yang boleh membantu meningkatkan imej Malaysia yang akan menjadi sumbangan besar dalam ekonomi negara.

“Sekarang apa yang rakyat inginkan adalah melihat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berusaha keras untuk menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat dan itu harus menjadi keutamaan kepimpinan semasa.

“Tahun ini penting bagi Malaysia kerana kita akan menganjurkan Apec 2020.

“Jadi semua kepimpinan dalam kabinet dan peringkat negeri mesti memberikan sokongan penuh kepada Mahathir untuk memimpin dan membuktikan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang boleh bersaing di peringkat global,” katanya kepada pemberita semasa lawatannya di Kampung Pimping, Membakut, di sini, Jumaat lepas.

Turut hadir, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan Matbali Musah, Adun Kemabong Jamawi Jaafar, Adun Kuala Penyu Datuk Limus Jury dan Adun Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, antara lain.

Dengan menjadi tuan rumah, Azmin berkata ia adalah masa “tidak sesuai” untuk mengutamakan atau mempersoalkan peralihan kuasa Perdana Menteri tetapi sebaliknya memberi tumpuan kepada pembangunan yang dirancang dan perlu dilaksanakan.

Beliau berkata bahawa ini hanya boleh dilakukan jika pemimpin dari setiap pelusuk bersatu dan mengetepikan sebarang perbezaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.

Katanya juga, perbincangan perlu diadakan sewajarnya untuk memastikan peralihan jawatan kepimpinan tertinggi kepada yang baharu kerana adalah penting untuk memastikan setiap pemimpin bersetuju, termasuk Kerajaan Negeri.

“Beliau (Mahathir) sudah beberapa kali mengatakan bahawa beliau akan meletakkan jawatan bila masanya sesuai. Ini bukan masa untuk membincangkan peralihan kuasa. Kita perlu menumpukan ke atas tadbir urus Malaysia demi rakyat.

“Kita harus ingat bahawa selepas Pilihan Raya Umum ke-14, kerajaan dibentuk bukan sahaja oleh Pakatan Harapan tetapi juga dengan penyertaan Warisan.

“Oleh itu, kita mesti membenarkan perbincangan antara pihak berkepentingan mengenai perkara ini demi kepentingan Malaysia. Kestabilan adalah penting untuk memberi keyakinan kepada pelabur,” tambahnya. 

Sementara itu, Azmin berkata Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM4.25 bilion kepada Kerajaan Negeri tahun ini untuk tujuan pembangunan dari segi infrastruktur.

Di bawah kepimpinan Mahathir, beliau berkata enam negeri dikenalpasti memerlukan dana besar dan ini termasuk Sabah dan Sarawak.

“Peruntukan pembangunan Sabah meningkat kepada RM4.25 bilion untuk tahun 2020 berbanding dana sebelum ini yang hanya berjumlah RM3 bilion kerana kerajaan PH tahu bahawa Sabah memerlukan peruntukan besar untuk pembangunan.

“Peruntukan ini tidak ada kena mengena dengan pilihan raya kecil Kimanis kerana ia telah diluluskan di peringkat Parlimen bulan lepas. Pelaksanaan pembangunan perlu diutamakan kerana dana sudah disediakan,” tambahnya.

 





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here