Polis siasat kekecohan melibatkan Papagomo, sekumpulan lelaki di KKIA
Published on: Tuesday, January 21, 2020
KOTA KINABALU: Polis Sabah akan menyiasat pergaduhan Ahad lepas melibatkan Wan Muhammad Azri Wan Deris, lebih dikenali sebagai Papagomo, dan sekumpulan lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata mereka mengambil serius kejadian itu dan siasatan itu akan dipercepat sebelum dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan selanjutnya.
ADVERTISEMENT
Kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan kedua-dua pihak yang terlibat dalam kejadian itu seperti yang dirakam dalam klip video yang menjadi tular di media sosial akan dipanggil untuk siasatan lanjut.
“Kami ingin meminta semua saksi kejadian dan orang awam yang melihat kejadian itu agar tampil membantu siasatan apabila dipanggil untuk berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata Papagomo telah membuat laporan polis di Balai Polis Setapak, Kuala Lumpur pada pukul 2.30 pagi Isnin, mendakwa dia diserang sekumpulan lelaki di KKIA pada 19 Januari.
Kejadian itu telah dirakam beberapa orang awam dan memuat naik rakaman pergaduhan itu di media sosial.
ADVERTISEMENT
Anggota exco Pemuda Umno itu yang dijadual berlepas ke Kuala Lumpur pada jam 9 malam dikepung sekumpulan lelaki yang tidak berpuas hati dengannya kerana didakwa menghina Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Beberapa lelaki dalam kumpulan itu dilihat memukul Papagomo dipercayai kerana Papagomo mengoyak poster Shafie dan menggelar Shafie pengkhianat semasa kempen Pilihan Raya Parlimen Kimanis.
ADVERTISEMENT
Antara yang dilihat dalam video itu ialah Datu Mohd Akjan Datu Ali Muhammad, yang ketika dihubungi oleh Daily Express hari Ahad mengesahkan beliau hadir bersama lima anaknya.
Akjan sebelum ini memberi amaran dalam video yang ditularkan bahawa Papagomo harus meminta maaf kepada Shafie atau menghadapi akibatnya.
“Kami akan berdiri untuk Ketua Menteri tidak kira siapa dia. Kami akan pertahankan pemimpin kita tidak kira sama ada dia Pairin, Yong Teck Lee, Bernard Dompok, Madius Tangau... kami akan berdiri untuk pemimpin kita,” katanya.
Akjan mendakwa telah memukul Papagomo tiga kali selepas Papagomo enggan memohon maaf. “Dia (Papagomo) harus beretika apabila memasuki negeri orang lain., Kami mahu dia memohon maaf kerana menghina pemimpin kami.
Beliau berkata tindakan Papagomo bertentangan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan tindakan harus diambil terhadapnya.
Satu laporan polis dibuat oleh Akjan di balai polis KKIA kira-kira 4.02 petang pada hari yang sama. Laporan polis meminta siasatan dibuat terhadap Papagomo kerana kejadian yang didakwa berlaku di Kimanis.
Ketua Polis Kota ACP Habibi Majinji berkata Papagomo mendaftar masuk pada jam 9 malam dan penemuan awal menunjukkan Papagomo tiba di KKIA sekitar pukul 7 malam dan sekumpulan orang cuba menghalangnya dari menaiki pesawat. Pergaduhan berlaku menyebabkan polis di lapangan terbang serta polis dari Jabatan Polis Kota Kinabalu bergegas ke tempat kejadian untuk meredakan keadaan.
Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
Parti Warisan Sabah dalam satu kenyataan pada Isnin, menafikan sebarang penglibatan dalam kejadian tersebut.
Setiausaha Agungnya, Datuk Loretto S Padua, berkata parti itu tidak mengetahui kejadian itu sehingga ia menjadi tular.