Thu, 18 Apr 2024

HEADLINES :


Wanita guna dokumen palsu dapatkan kontrak kena 9 bulan
Published on: Wednesday, February 19, 2020
By: Cynthia D Baga
Text Size:

Wanita guna dokumen palsu  dapatkan kontrak kena 9 bulan
KOTA KINABALU: Seorang wanita berumur 38 tahun yang mengemukakan penyata bank palsu kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah untuk mendapatkan kontrak pembekalan makanan siap masak bernilai RM6.8 juta kepada tiga asrama sekolah di Keningau, dipenjara sejumlah sembilan bulan dan didenda RM60,000.

Siti Sadiah Sundai @ Sarudin mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat kepada sembilan tuduhan terhadapnya pada Selasa.

Bagi tuduhan pertama hingga keenam, Siti Sadiah dipenjara sebulan dan didenda RM5,000 atau penjara empat bulan bagi setiap tuduhan.

Sementara itu, bagi tuduhan ketujuh hingga kesembilan, dia dipenjara sebulan dan didenda RM10,000 atau penjara lapan bulan bagi setiap tuduhan.

Mahkamah memerintah Siti Sadiah untuk menjalani semua hukuman penjaranya serentak mulai Selasa.

Mahkamah juga membenarkan permohonan Siti Sadiah untuk membayar denda secara ansuran dari tarikh pensabitannya sehingga dia dibebaskan dari penjara.

Tuduhan menyatakan bahawa bagi tuduhan pertama hingga ketiga, Siti Sadiah telah menggunakan penyata bank palsu bertarikh 31 Julai, 31 Ogos dan 30 September 2016 di bawah Syarikat Tunas Wawasan Enterprise untuk tujuan mendapatkan tender pembekalan makanan siap masak bagi SK Tetagas, Nabawan.

Bagi tuduhan keempat hingga keenam, dia telah menggunakan penyata bank palsu bertarikh 1-31 Julai 2016, 1-31 Ogos 2016 dan 1-30 September 2016 juga di bawah Syarikat H.A.M Bersaudara untuk tujuan sama mendapatkan kontrak pembekalan makanan siap masak bagi SK Longgongon, Nabawan.

Bagi tuduhan ketujuh hingga kesembilan, dia telah menggunakan penyata bank palsu bertarikh 1-31 Julai 2016, 1-31 Ogos 2016 dan 1-30 September 2016 juga di bawah Syarikat Tunas Impian untuk tujuan sama mendapatkan kontrak pembekalan makanan siap masak bagi SMK Bingkor.

Siti Sadiah telah mengemukakan semua dokumen palsu itu di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di sini pada 24 November 2016.

Kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama, yang membawakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa rayuan, Siti Sadiah yang diwakili oleh peguam P.J Perira memohon supaya tidak dikenakan hukuman penjara dan juga dikenakan denda rendah, mengatakan anak guamnya mempunyai empat anak untuk dijaga selain dia mengalami masalah kesihatan.

Perira memberitahu mahkamah bahawa Siti Sadiah telah mengalami strok sederhana, yang dikemukakan kepada mahkamah.

Menurut Perira, Siti Sadiah adalah pesalah kali pertama dan memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan.

Siti Sadiah juga meminta supaya denda itu dibayar secara ansuran.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Mohd Faliq Basiruddin dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa mahkamah untuk menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan kerana ia membabitkan kesalahan berat selain untuk memberi pengajaran kepada mereka yang berfikir untuk melakukan kesalahan itu.

Faliq berhujah bahawa Siti Sadiah telah mendapat tiga kontrak bernilai RM6.8 juta itu untuk membekalkan makanan siap masak bagi tiga asrama sekolah itu dengan mengemukakan penyata bank palsu kepada jabatan.

Dia menambah, disebabkan perbuatan Siti Sadiah itu, syarikat lain yang turut layak mendapatkan tender itu, tidak mendapat peluang tersebut.

Faliq selanjutnya berhujah bahawa kes itu menyusuli insiden 22 kontraktor yang ditahan dan direman berkaitan kesalahan mengemukakan dokumen palsu untuk mendapatkan tender dari Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Beliau berkata hukuman berbentuk pencegahan akan memberi pesanan kepada orang awam supaya tidak menggunakan dokumen palsu sewenang-wenangnya.

Sementara itu, seorang wanita berumur 53 tahun didakwa atas tiga tuduhan menggunakan penyata bank palsu untuk mendapatkan tender pembekalan makanan siap masak ke asrama sebuah sekolah menengah di Keningau.

Jukimi @ Shafiah Makajin @ Mohd Daud mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat kepada semua tuduhan terhadapnya pada Selasa.

Bagi tuduhan pertama hingga ketiga, Jukimi yang juga pemilik Syarikat Anugerah Enterprise telah menggunakan tiga penyata bank palsu syarikat bertarikh 31 Julai, 31 Ogos dan 30 September 2016 untuk tujuan mendapatkan tender pembekalan makanan siap masak bagi asrama SMK Gunsanad.

Jukimi didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di sini, pada 24 November 2016.

Kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama, yang membawakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 1 April untuk sebutan kes dan melepaskan Jukimi dengan jaminan RM20,000 dengan deposit RM8,000 dan seorang penjamin tempatan, dan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali dalam dua bulan selain pasportnya, jika ada, diimpaun oleh mahkamah.

Di mahkamah sama, seorang lagi wanita meminta dibicarakan bagi tiga tuduhan menggunakan penyata bank palsu juga untuk mendapatkan tender sama seperti Jukimi.

Aini Yarmia, bagi tuduhan pertama hingga ketiga, didakwa menggunakan dokumen-dokumen palsu itu bertarikh 31 Julai, 31 Ogos dan 30 September 2016 untuk tujuan mendapatkan tender pembekalan makanan siap masak bagi asrama SMK Gunsanad 2.

Kesalahan itu didakwa berlaku di tempat dan masa sama seperti Jukimi.

Kes Aini juga akan disebut pada 1 April dan mahkamah membenarkan ikat jamin RM20,000 dengan deposit RM10,000 dan seorang penjamin tempatan. Mahkamah juga mengenakan syarat sama pada Aini seperti Jukimi.

Pegawai Pendakwa Mohd Faliq Basiruddin dari SPRM hadir untuk pendakwaan sementara peguam Rebecca Taimin mewakili Jukimi dan Aini.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here