Sat, 20 Apr 2024

HEADLINES :


Sabah punyai potensi jadi hab Musang King
Published on: Tuesday, February 25, 2020
By: Hayati Dzulkifli
Text Size:

Sabah punyai potensi jadi hab Musang King
KOTA KINABALU: Sabah mempunyai potensi tinggi menjadi hab untuk menanam dan mengeksport Durian Musang King yang mempunyai permintaan tinggi di negara-negara maju termasuk China, Amerika Syarikat (AS), Australia dan Hong Kong.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong berkata ia mungkin untuk Sabah menjadi pengeluar terbesar Raja Buah-buahan ini kerana negeri ini mempunyai kawasan tanah berbukit yang luas, subur dan sesuai untuk penanaman Musang King. Beliau berkata potensi besar ini mesti dimanfaatkan untuk meningkatkan hasil ekonomi melalui eksport Musang King.

“Selain komoditi lain seperti sawit, getah, koko dan nanas, yang ditanam di Sabah dan dieksport ke negara lain seperti China, Hong Kong dan Singapura, Musang King juga mempunyai permintaan baik di Brunei Darussalam, Australia dan sesetengah tempat di Amerika Syarikat yang mempunyai Pekan Cina (Chinatown) seperti California dan San Francisco.

“Disebabkan permintaan tinggi untuk Musang King secara global, harga durian ini telah meningkat sejak 2014. Contohnya, harga jualan Musang King di Malaysia meningkat lebih 200 peratus sejak 2014 malah harganya lebih tinggi apabila dipasar dan dieksport ke China.

“Dengan itu, Musang King menjadi salah satu tarikan pelancongan di Sabah. Malah, tidak boleh dinafikan bahawa ramai pelancong khususnya dari China yang datang ke Sabah akan mencari durian Musang King dan membeli produk makanan berasaskan Musang King secara pukal,” katanya.

Junz berkata demikian dalam ucapannya apabila melancarkan pejabat baharu Neways Century (M) Sdn Bhd di KK Times Square dan Hari Terbuka-nya di Grand Plaza (The Walk), Riverson, di sini, Ahad lepas.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Daud Yusof menyampaikan teks ucapan Junz pada acara itu.

Syarikat berpangkalan di Kuala Lumpur mempunyai wawasan untuk menjadikan Sabah salah sebuah pengeluar durian terbesar dalam tempoh 10 tahun dengan membuka sebuah ladang untuk menanam durian Musang King dan memberi peluang melabur dalam pokok-pokok Musang King untuk pelaburan jangka panjang. Malah, Junz berkata permintaan untuk Musang King di dalam dan luar negara dijangka terus meningkat.

“Di Sabah, terdapat banyak kedai yang menjual bukan saja Musang King tetapi produk berasaskan durian seperti kopi durian, biskut durian, coklat durian dan kek durian, antara lain.

“Menanam dan menjual Musang King juga satu perniagaan yang telah mewujudkan banyak pekerjaan di ladang dan syarikat.

“Bagaimanapun, ketika ini, Malaysia hanya dapat memenuhi satu peratus daripada permintaan eksport durian ini ke China dan ia tidak termasuk produk yang diperbuat daripadanya,” kata beliau. Dengan itu, Junz berkata, 99 peratus lagi menawarkan pasaran besar untuk Sabah tembusi, bekal dan eksport durian Musang King ke China.

Susulan itu, beliau berkata ia telah menjadi tumpuan utama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Persekutuan bersama dengan Felda untuk mempromosi dan memasarkan Musang King secara global.

“Kini terdapat beberapa syarikat berasaskan pertanian di Sabah yang telah menceburi penanaman durian Musang King dalam skala besar, dan salah satunya adalah Neways Century (M) Sdn Bhd yang juga dikenali sebagai NWC Plantation.

“Saya difahamkan bahawa syarikat mempunyai lebih 400 pokok Musang King yang sedia dituai dalam masa tiga hingga empat tahun, yang ditanam di tanah seluas 20 ekar di Kg Kelatuan, Papar.

“Ini adalah perkembangan positif yang kementerian saya akan sokong dan akan galakkan rakyat Sabah yang mempunyai tanah untuk menanam Musang King, sementara mereka yang tidak mempunyai tanah boleh melabur dalam NWC Plantation yang menawarkan program pemilikan perniagaan NWC atas pokok-pokok Musang King yang ditanam,” kata Junz.

Di bawah program itu, beliau berkata sesiapa pun boleh memiliki pokok-pokok Musang King itu dengan modal perniagaan kecil, dan itu membuka peluang perniagaan untuk menjadi usahawan dan menikmati pendapatan lumayan melalui penjualan durian itu yang dikenalikan oleh NWC.

Junz berkata beliau berharap syarikat itu akan meluaskan ladang Musang King itu ke daerah lain dan progresif dalam menjadikan Sabah sebagai hab dan pengeluar terbesar Musang King.

Sementara itu, pengarah Neways Century (M) Sdn Bhd (NWC Plantation) Hafizan Mokhtar berkata syarikat menggesa sesiapa di Sabah yang mempunyai tanah termasuk tanah kosong melebihi lima ekar untuk mengadakan usaha sama dengan mereka dalam menanam durian tersebut.

Mereka yang tidak memiliki tanah pula boleh mengambil bahagian dalam program pemilikan perniagaan syarikat itu yang membolehkan individu melabur untuk memiliki pokok Musang King yang ditanam di ladang-ladangnya di Sabah.

Syarikat itu menjaga pokok-pokok durian mereka dan menguruskan jualan serta eksport buah ini ke luar negara.

“Satu pokok Musang King boleh menghasilkan 200 hingga 500 buah setahun dan mampu meraih pendapatan bersih kira-kira RM4,500 setahun atau lebih jika dieksport.

“Buat masa ini, syarikat telah menanam lebih 400 pokok Musang King di tanah 20-ekar di Kg Kelatuan, Papar di bawah Fasa 1.

“Untuk Fasa 2, kami menyasarkan untuk menanam anak benih/pokok Musang King di tanah seluas 100-ekar yang kami akan kenal pasti kemudian, sementara Fasa 3 akan membabitkan tanah 500 – 1,000 ekar,” katanya, menambah mereka berharap beribu-ribu ekar tanah di Sabah akan ditanam dengan durian itu.

Di bawah Fasa 3, Hafizan menambah syarikat juga merancang untuk mendirikan sebuah kilang untuk memproses dan menghasilkan produk makanan berasaskan Musang King.

Hadir sama, dua lagi pengarah NWC, Kenny Pang dan Manson Pang.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here