Wed, 17 Apr 2024

HEADLINES :


Polis rampas dadah bernilai RM760,780
Published on: Wednesday, February 26, 2020
By: Stefyanie Myla Micheal
Text Size:

Polis rampas dadah  bernilai RM760,780
KOTA KINABALU:  Polis Sabah merekodkan rampasan dadah terbesar oleh pihaknya tahun ini dengan tangkapan lapan orang, dipercayai pengedar dadah, dan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM760,780.

Tangkapan dan rampasan itu juga membolehkan polis membongkar taktik baharu oleh pengedar dadah – penggunaan aplikasi mudah-alih untuk transaksi mereka.

Serbuan di bawah Ops Ice Breaker dijalankan serentak di dua lokasi berbeza – sebuah kondominium di Jalan Lintas, di sini, dan Simpang Kemboja Kg Sungai Miri/Kg Pagar serta Sungai Keling, Labuan, pada 22 Februari.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata satu pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dari Kontinjen Polis Sabah (IPK) menjalankan dua daripada serbuan itu di Kota Kinabalu dan merampas empat jenis dadah iaitu syabu, ketamin, ekstasi dan eramin.

“Serbuan pertama dijalankan pada pukul 9.25 pagi di lot parkir sebuah kondominium di Jalan Lintas, yang menyaksikan tangkapan seorang lelaki berumur 47 tahun.

“Selepas memeriksa beg yang dibawa oleh suspek, pasukan menemui empat paket syabu seberat 104 gram dan 10 paket ketamin seberat 52 gram, semuanya dibungkus surat khabar,” katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Beliau berkata, selepas tangkapan itu, suspek kemudian membawa pasukan ke sebuah rumah di kondominium sama di mana mereka menemui satu kotak besi mengandungi 471 paket ketamin, syabu dan ekstasi bernilai RM743,280.

“Suspek yang tidak bekerja mengaku menerima bekalan dadah dari seorang lelaki tidak dikenali melalui satu aplikasi mudah-alih.

“Ini adalah modus operandi baharu. Kami percaya dadah ini adalah untuk dibekalkan kepada pasaran tempatan melalui aplikasi ini.

“Siasatan lanjut dan risikan sedang berjalan untuk mengesan pembekal itu,” katanya, menambah suspek menyewa dua unit kondominium di sini, termasuk satu unit untuk simpanan.

Menurut Zaini, pada pukul 9 pagi hari sama, satu pasukan pegawai dan anggota daripada JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan menangkap tiga lelaki dalam serbuan pertama mereka di pulau itu.

“Selepas siasatan, pasukan menemui satu kotak mengandungi dua paket syabu seberat 75.51 gram.

“Tangkapan itu membawa pasukan kepada serbuan kedua mereka di sebuah kuarters ‘kongsi’ di Sungai Keling, yang menyaksikan empat pendatang tanpa izin ditangkap dan rampasan dua paket syabu seberat 100.08 gram,” katanya, menambah dadah bernilai RM17,500 dirampas.

Zaini berkata pasukan itu kemudian menemui lapan bot dengan enjin 200 kuasa kuda berdekatan rumah itu, dipercayai berkaitan dengan aktiviti haram.

“Kesemua lapan bot, termasuk 25 enjin, kesemuanya bernilai RM1,150,000 dirampas,” katanya.

Sementara itu, Zaini berkata polis Sabah menangkap seramai 2,463 orang atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah dan Racun 1952 dari 1 Januari hingga 24 Februari tahun ini.

“Bilangan ini meningkat sebanyak 24 orang berbanding tempoh sama pada 2019,” katanya, menambah daripada 2,463 ditangkap, 183 merupakan pengedar dadah.

Beliau berkata sejumlah 8.3kg syabu dirampas dari 1 Januari hingga 24 Februari tahun ini, lebih tinggi sebanyak 4.35kg berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Seramai 20 orang ditahan di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) di seluruh negeri dari 1 Januari hingga 24 Februari tahun ini dan 61 ditahan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan rotan, jika sabit kesalahan,” katanya.

 





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here