Tue, 16 Apr 2024

HEADLINES :


9,000 penjawat awam bakal terima manfaat
Published on: Thursday, February 27, 2020
By: Anthea Peter
Text Size:

9,000 penjawat awam bakal terima manfaat
KOTA KINABALU:  Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) melancarkan dua sistem sumber manusia dalaman secara dalam talian, iaitu e-Peperiksaan dan e-Tukar 2020, yang dijangka memanfaatkan kira-kira 9,000 penjawat awam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong berkata kedua-dua sistem dibangunkan oleh JPANS melalui kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) dalam tempoh dua bulan.

Beliau berkata sistem berautomasi itu diwujudkan selaras dengan aspirasi pendigitalan sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam Negeri Sabah berdasarkan konsep 5A iaitu (1) Boleh Diakses (Accessible) oleh (2) Sesiapa (Anyone) pada (3) Bila-bila Masa (Anytime), (4) Di Mana Saja (Anywhere) oleh (5) Sebarang Peranti Mudah-alih (Any Mobile Device).

“Impak positif melaksanakan kedua-dua sistem yang berintegrasi dengan Sistem Maklumat Sumber Manusia adalah menyeragamkan proses inovasi, memudahkan semakan permohonan dalam talian, mewujudkan storan digital dan memudahkan penjanaan statistik komprehensif untuk tujuan perancangan sumber manusia strategik.”

Beliau berkata demikian apabila melancarkan dua sistem itu semasa Mesyuarat Bulanan Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Setiausaha-setiausaha Tetap Kementerian di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, Selasa.

“e-Peperiksaan akan memberi manfaat kepada 4,388 pegawai Gred 19. Fasa peretam e-Peperiksaan akan diadakan dua kali setahun dan kemudian diadakan setiap bulan untuk fasa seterusnya.

“Manakala e-Tukar, yang dibuka sepanjang tahun, bakal memberi manfaat kepada 4,725 penjawat awam daripada jumlah keseluruhan pegawai Perkhidmatan Awam Negeri.

“e-Tukar adalah untuk mereka yang menukar dari satu agensi ke jabatan atau kementerian lain, dan mereka tidak lagi perlu memohon dengan mengisi borang. Semuanya akan dijalankan dalam sistem (digital).

“Ia sama dengan e-Peperiksaan. Mereka boleh menduduki peperiksaan secara dalam talian dan mendaftar masuk ke dalam akaun mereka. Peperiksaan itu adalah satu keperluan JPANS agar mereka boleh menentusahkan jawatan mereka atau dinaikkan pangkat,” katanya.

Tambahnya, dua sistem terbabit adalah antara 150 sistem digital yang ketika ini sedang dirancang dan dibangunkan oleh JPANS.

Safar berkata jabatan itu mensasarkan bagi membangunkan satu aplikasi dalam talian atau sistem terdigit setiap bulan.

“JPANS sentiasa berusaha menangani kekangan melaksanakan sistem dalam talian seperti isu-isu akses Internet, untuk memastikan Pegawai Perkhidmatan Awam Sabah mempunyai akses mudah ke dalam sistem itu,” katanya.

Tambahnya, inisiatif seperti ini sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk menjadi sebuah ‘Kerajaan Digital Pintar’ di mana ia adalah bagi memastikan perkhidmatan untuk rakyat adalah pantas, tepat dan teratur.

“Kami mahu meningkatkan kecekapan perkhidmatan dalam dan juga perkhidmatan kepada orang awam, iaitu rakyat biasa dan perniagaan. Kami perhatikan tiada cara lain tetapi menerusi automasi digital, inovasi digital dan transformasi digital,” katanya.

 





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here