Sat, 20 Apr 2024

HEADLINES :


Warga Filipina lari dari Sabah
Published on: Wednesday, March 25, 2020
By: Nikko Fabian
Text Size:

Warga Filipina lari dari Sabah
SEBAHAGIAN daripada khemah yang dipasang di Pulau Sibakil untuk PUI.
Kota Kinabalu: Ratusan warga Filipina melarikan diri dari Sabah menerusi saluran tidak rasmi dan beberapa daripadanya ditahan oleh pihak berkuasa di Mindanao Selatan.

Bagaimanapun, ia tidak diketahui sama ada mereka melarikan diri dari Sabah disebabkan laporan peningkatan kes Covid-19 ataupun bimbang ditemui di sekatan jalan raya oleh polis dan tentera semasa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac hingga 31 Mac, atau kedua-duanya.

Kumpulan pertama dikesan oleh pihak berkuasa Filipina apabila dua kapal kayu dari Sabah tiba di pelabuhan Isabella City dan pekan Maluso di Basilan pada 17 Mac – sebelum pelaksanaan PKP di Sabah.

“Di atas kapal itu ialah 413 warga Filipina yang datang dari Sabah,” kata Ketua Ketumbukan Mindanao Barat, Lt Jen Cirilito Sobejana mengesahkan kepada Harian Ekspres.

Beliau berkata dua Unit Kerajaan Tempatan (LGU) itu enggan menerima rakan senegara mereka kerana bimbang kemungkinan mereka mempunyai virus itu.

Akibatnya, kata Sobejana, Ketumbukan Mindanao Barat menjadikan Pulau Sibakil di pekan Lantawan sebagai kawasan kuarantin untuk penumpang dan ketibaan akan datang dari Sabah. Kira-kira 100 khemah didirikan di Pulau Sibakil untuk mana-mana orang di bawah siasatan (PUI) Covid-19, tambahnya. Semua PUI akan disediakan dengan bungkusan makanan, kit tempat tidur, kit kebersihan, air minum, khemah boleh pindah, beras dan komoditi asas lain.

Daripada sejumlah 413 penumpang, Sobejana berkata LGU hanya membenarkan 282 turun memandangkan mereka didapati merupakan penduduk wilayah itu.

Di Tawi-Tawai, Mayor Perbandaran Ubian Selatan, Arcaf Matba turut melaporkan 49 warga Filipina menaiki sebuah motobot, Nordiana, datang dari Sabah. Mereka diperintahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari.

Matba turut mengesahkan bahawa penumpang itu adalah warga Filipina yang pulang kerana bimbang dengan peningkatan kes koronavirus di Sabah.

“Kami menempatkan semua penumpang di sebuah bangunan kerajaan dan mereka akan dibebaskan selepas tempoh kuarantin,” tambah Matba.

Difahamkan Gabenor Tawi-Tawi, Yshmael “Mang” Sali telah mengarahkan semua LGU di wilayah itu agar berjaga-jaga dan memantau pergerakan kapal yang memasuki perbandaran mereka, terutamanya dari Sabah.

Tawi-Tawi merupakan sebahagian daripada Wilayah Autonomi Bangsamoro Muslim Mindanao.

Ia juga difahamkan bahawa pintu keluar di Sabah termasuk pesisir pantai di Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna. Larangan perjalanan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia dan Filipina menyebabkan warga Filipina itu tidak ada pilihan tetapi menggunakan “pintu belakang” untuk melarikan diri.

Presiden Rodrigo Duterte melarang semua warga asing daripada memasuki Filipina kecuali untuk warga Filipina yang pulang, untuk membendung koronavirus. 





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here