HEADLINES :




Makanan cukup dalam tempoh lanjutan: Shafie
Published on: Thursday, March 26, 2020
By: Bernama
Text Size:


Gambar Bernama
Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri memberi jaminan bekalan makanan di Sabah akan terus mencukupi meskipun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Sabah akur dengan keputusan kerajaan Persekutuan untuk melanjutkan tempoh PKP dua minggu lagi, dan akan memastikan bekalan makanan termasuk sayur-sayuran mencukupi untuk semua penduduk negeri.

“Saya difahamkan oleh KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), bahawa bekalan barangan keperluan (di Sabah) setakat ini mencukupi.

“Kita akan pastikan bekalan barangan keperluan sampai ke setiap kawasan kampung yang memerlukan,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan Pakej Bantuan Covid-19 Sabah di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah di sini, pada Rabu.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh PKP dilanjutkan sehingga 14 April ini dan pengumuman itu dibuat lebih awal supaya rakyat akan lebih bersedia.

Tempoh kuat kuasa perintah ini akan dikaji dari semasa ke semasa dan jika ada keperluan untuk dilanjutkan lagi, kerajaan Persekutuan akan membuat pengumuman mengenainya.

Sementara itu mengulas aduan peniaga sayur di pantai timur Sabah mengenai bekalan sayur dari Ranau tidak sampai di kawasan itu, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri sedia maklum mengenainya dan telah mengarahkan pihak berkuasa yang melakukan sekatan jalan raya di sempadan daerah supaya memberi laluan kepada pengangkutan barangan keperluan asas penting.

Beliau menjelaskan kerajaan negeri memutuskan supaya sekatan jalan raya di setiap sempadan daerah dilaksanakan dalam tempoh PKP ini bagi tujuan membendung penularan Covid-19.

Menurutnya kerajaan Sabah mengambil langkah itu bagi mengelakkan pergerakan penduduk antara daerah, kecuali mereka yang terlibat dalam urusan perkhidmatan dan barangan penting. – Bernama


ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular