HEADLINES :




Sabah umum peruntukan RM670j
Published on: Thursday, March 26, 2020
By: Bernama
Text Size:


Gambar Bernama
Kota Kinabalu: Kerajaan negeri pada Rabu mengumumkan Pakej Bantuan Covid-19 Sabah melibatkan peruntukan RM670 juta bagi membantu meringankan beban dan kesulitan dihadapi pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini yang terjejas berikutan penularan jangkitan wabak Covid-19.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri akan melaksanakan 15 langkah yang telah dirangka dan dirangkumkan di bawah pakej itu melibatkan tiga kategori termasuk bantuan kepada petugas barisan hadapan serta bantuan kepada rakyat terjejas.

Beliau berkata pakej berkenaan turut memberi perhatian kepada memperkukuh perniagaan serta menambah baik kualiti infrastruktur dan kemudahan asas di luar bandar.

Mohd Shafie berkata antara pakej diperkenalkan adalah bantuan khas tunai sebanyak RM500 seorang secara ‘one-off’ kepada setiap ketua isi rumah miskin dan ketua isi rumah miskin tegar yang berdaftar dalam sistem e-Kasih melibatkan peruntukan RM20 juta.

“Bantuan ini dijangka memberi faedah kepada seramai 22,456 ketua isi rumah miskin dan 15,747 ketua isi rumah miskin tegar di seluruh Sabah,” katanya dalam sidang media di sini, pada Rabu.

Bagi golongan B40 pula, Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM80 juta bagi membantu golongan berkenaan termasuk anak-anak Sabah yang bekerja di Semenanjung, pemandu-pemandu teksi, nelayan, ‘porter’ malim gunung, warga tua, anak-anak yatim, orang kurang upaya dan ibu-ibu tunggal.

Golongan B40 Sabah ini akan diberikan bantuan tunai secara ‘one-off’ sebanyak RM300 seorang, katanya.

Di samping itu, Mohd Shafie berkata sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi membantu rakyat di seluruh Sabah yang terkesan dengan wabak itu dan RM18 juta daripadanya adalah untuk bantuan keperluan bahan makanan di kampung-kampung.

“RM2 juta lagi adalah untuk membantu dan meringankan masalah kewangan dalam menampung keperluan harian dihadapi para pelajar Sabah di Semenanjung Malaysia ekoran Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa mulai 18 Mac lepas,” katanya dan menambah, bantuan berkenaan akan disalurkan dalam tempoh terdekat.

Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM60 juta untuk golongan barisan hadapan termasuk doktor dan jururawat, RM50 juta daripadanya adalah untuk bekalan barangan guna pakai dan peralatan kritikal dalam menjalankan tugas seperti penutup mulut dan hidung, cecair basmi kuman serta pakaian perlindungan.

RM10 juta lagi bantuan makanan dan keperluan kepada golongan petugas di barisan hadapan sebagai tanda keprihatinan terhadap komitmen mereka menjalankan tugas tanpa henti dalam membantu melaksanakan langkah diambil kerajaan untuk mengekang wabak itu, katanya.

Bagi memperkukuhkan perniagaan serta menambah baik kualiti kemudahan asas luar bandar, Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM40 juta untuk skim kredit peniaga-peniaga kecil sebagai usaha membantu golongan berkenaan menerusi penyediaan dana melalui Perbadanan Pinjaman Sabah.

Mohd Shafie berkata industri kecil dan sederhana (IKS) Sabah turut dibantu menerusi peruntukan RM50 juta untuk Dana Industri Kecil dan Sederhana yang menawarkan kadar faedah serendah 3.5 peratus bagi memastikan industri itu terus berdaya tahan dalam tempoh ini.

“Memandangkan kerajaan negeri telah mengambil langkah untuk membantu, maka saya berharap supaya IKS di Sabah akan turut menjaga kebajikan pekerja dan kakitangan mereka dalam masa yang sukar ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, sebanyak RM200 juta turut diperuntukkan menerusi pakej itu bagi melaksanakan 1,000 projek di kampung-kampung seluruh daerah di negeri ini, dan projek dilaksana akan menumpukan kepada usaha menambah baik kualiti dan liputan infrastruktur asas luar bandar, katanya. – Bernama


ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular