Thu, 25 Apr 2024

HEADLINES :


Sabah seragamkan waktu operasi pelaksanaan PKP
Published on: Sunday, April 05, 2020
Text Size:

Sabah seragamkan waktu  operasi pelaksanaan PKP
KOMANDER Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali memerhati bot kumpit terakhir meninggalkan perairan Sabah pada Jumaat. Sebanyak 10 bot kumpit dari negara jiran telah mendapat kelulusan untuk berlabuh di perairan negeri bagi tujuan pemunggahan barangan.
Kota Kinabalu: Kerajaan negeri Sabah melalui Pusat Perintah Covid-19 Sabah pada Sabtu memutuskan untuk menyeragamkan waktu operasi di samping mengeluarkan tatacara pelaksanaan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua dari hari ini sehingga 14 April.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong dalam kenyataan Sabtu berkata, perniagaan makanan dan keperluan asas yang merangkumi kedai barangan harian (pasar raya, kedai runcit, kedai serbaneka, bakeri) dan restoran serta penghantaran bermotosikal dibenarkan beroperasi bermula 6 pagi hingga 6 petang.

“Manakala pasar awam dibenarkan beroperasi bermula 6 pagi hingga 2 petang, restoran fast food (makanan segera) dibenarkan beroperasi dari  9 pagi hingga 6 petang, manakala pasar malam, tamu dan bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi.

“Namun kebenaran operasi berkenaan tertakluk beberapa syarat yang perlu dipatuhi seperti restoran fast food hanya dibenarkan untuk pembelian ‘drive thru’ (pandu lalu) dan pasar awam perlu memastikan jarak sosial dipatuhi serta mengawal jumlah pelanggan,” katanya.

Beliau berkata pergerakan kenderaan persendirian, pengangkutan awam dan pengangkutan komersial merangkumi  perkhidmatan dan barangan perlu hanya dibenarkan beroperasi dari  6 pagi hingga 6 petang.

Bas dan bas mini serta bot penumpang tidak dibenarkan beroperasi semasa tempoh ini, katanya, menambah, bagi kenderaan komersial, hanya kenderaan pengangkut bahan makanan, hasil tani dan ubatan dibenarkan.

Beliau berkata hanya dua individu – pemandu dan seorang pekerja – dibenarkan di dalam lori/van/pikap berkenaan dan mesti mempunyai surat pengesahan atau surat kelulusan daripada jabatan/agensi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) bagi mereka yang mengangkut hasil tani.

Lori/treler melebihi dua tan hanya boleh mempunyai dua indivdu – pemandu dan seorang pekerja – dan mesti mempunyai permit untuk mengangkut barangan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Kementerian  Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

‘Kereta api dan feri penumpang/roll on-roll off dibenarkan beroperasi mengikut jadual masing-masing, tetapi pemandu, pekerja dan penumpang mesti memakai topeng mulut dan hidung serta menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Perkhidmatan tindakan cepat (pembaikan/tunda) bagi kereta rosak di lokasi adalah dibenarkan,” kata Safar.

Untuk perkhidmatan penghantaran motosikal, ia hanya dibenarkan untuk tujuan menghantar bahan makanan mentah, makanan siap masak, hasil tani, tong gas dan ubat-ubatan.

Untuk tempahan dalam talian, penghantaran hanya dibenarkan untuk makanan, produk kesihatan, barang keperluan asas dan lain-lain dari jam 6 pagi hingga 6 petang.

“Hanya seorang pembeli bagi setiap isi rumah dibenarkan,” katanya.

“Selain itu kerajaan Sabah menetapkan stesen minyak beroperasi mulai 6 pagi hingga 6 petang, bengkel dan kedai tayar yang berdaftar dengan Jabatan Kerja Raya beroperasi tiga kali seminggu iaitu Isnin, Rabu dan Jumaat dari 8 pagi hingga 2 petang,” katanya.

Kedai makanan peliharaan haiwan juga dibenarkan beroperasi pada Isnin, Rabu dan Jumaat sahaja, dari jam 8 pagi hingga 2 petang, katanya, menambah hanya seorang pembeli daripada setiap isi rumah dibenarkan.

Safar berkata industri kilang berasaskan makanan dan perubatan dibenarkan beroperasi bermula 8 pagi hingga 5 petang manakala operasi sistem tukar barang atau barter trade tidak dibenarkan sama sekali semasa PKP.

 





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here