Fri, 26 Apr 2024

HEADLINES :


Covid-19: Sabah catat kes kematian kedua
Published on: Monday, April 06, 2020
Text Size:

Covid-19: Sabah catat  kes kematian kedua
Gambar Bernama
Kota Kinabalu: Sabah merekodkan kes kematian kedua membabitkan Covid-19, pada Ahad.

Seorang lelaki berumur 66 tahun dari Tambunan meninggal dunia di Hospital Keningau, sementara kes kematian pertama di Sabah dilaporkan di Tawau, pada 20 Mac, membabitkan seorang lelaki berumur 58 tahun.

Pada Ahad, 13 kes baharu positif Covid-19 direkodkan di Sabah, menjadikan jumlah kumulatif kepada 238.

Tawau merekodkan 67 kes positif disusuli Lahad Datu (38), Kota Kinabalu (34), Sandakan (19), Kinabatangan (17), Tuaran (17), Beaufort (9), Kunak (8), Putatan (7), Penampang (6), Kota Belud (5), Sipitang (4), Semporna (2), Papar (2), Ranau (2), dan Tambunan (1).

Sehingga Ahad, bilangan kes yang pulih daripada Covid-19 di Sabah ialah 34.

Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menafikan satu mesej tular di media sosial yang mendakwa terdapat kematian di Beaufort akibat wabak Covid-19.

“Maklumat itu tidak benar,” kata Pengarahnya Datuk Christina Rundi dalam kenyataan, di sini pada Ahad.

Sebelum ini, tular satu mesej menerusi WhatsApp yang mendakwa terdapat kematian di Beaufort disebabkan wabak Covid-19.

Sementara itu, Bernama melaporkan sebanyak 179 lagi kes positif Covid-19 dicatatkan di negara ini sehingga 12 tengah hari pada Ahad, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,662 kes dengan empat lagi kes kematian dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada kes baharu itu 46 kes berkaitan kluster perhimpunan di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Jumlah kematian akibat Covid-19 setakat ini adalah 61 kes, iaitu 1.67 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.  “Kes kematian ke-58 (kes ke-2210) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 72 tahun, dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 (kes ke-1031).

“Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 27 Mac, dan disahkan meninggal dunia pada 4 April pukul 1.37 tengah hari,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan (KKM), di sini, pada Ahad.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian ke-59 (kes ke-3484) merupakan lelaki tempatan berumur 68 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 27 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 4 April, pukul 3.40 petang.

Katanya, kes kematian ke-60 (kes ke-3073) pula, merupakan lelaki warga Malaysia berumur 53 tahun, dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 31 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 5 April pukul 12.39 pagi. “Kes kematian ke-61 (kes ke-2200) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Beliau telah dirawat di Hospital Keningau, Sabah pada 26 Mac. Beliau disahkan meninggal dunia pada 4 April pada pukul 9.36 malam,” katanya. Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, seramai 99 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 48 kes memerlukan bantuan pernafasan.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here