Thu, 25 Apr 2024

HEADLINES :


Sabah dalam proses sedia pakej rangsangan kedua
Published on: Thursday, April 09, 2020
By: Larry Ralon
Text Size:

Sabah dalam proses sedia  pakej rangsangan kedua
Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Haji Jamalul Kiram bin Datuk Haji Mohd Zakaria menyerahkan cek replika RM1.35 juta daripada Kumpulan Yayasan Sabah kepada Mohd. Shafie.
Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri sedang dalam proses untuk menyediakan satu lagi pakej rangsangan bagi sektor perniagaan yang terjejas oleh pandemik Covid-19 di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata beliau telah meminta Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk melakukan kajian menyeluruh mengenai perkara itu supaya Kerajaan Negeri dapat memberikan bantuan mengikut sektor.

“Setelah kita membantu rakyat yang terjejas oleh pandemik, ini akan menjadi fasa kedua yang bertujuan untuk meneliti bagaimana menyelamatkan semua entiti perniagaan sedia ada di Sabah.

“Jangan risau, saya sudah meminta UPEN dan mengarahkan Datuk Idris Jala untuk melakukan kajian menyeluruh, bagaimana kita dapat memberi bantuan mengikut sektor, seperti pelancongan, pertanian, perikanan, makanan, pembinaan, perhutanan dan sebagainya.

“Ini bagi membolehkan kita memberi bantuan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas beliau menerima sumbangan RM5.85 juta daripada enam syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dalam satu majlis yang diadakan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini, Rabu.

Penyumbang-penyumbang itu termasuk Kumpulan Yayasan Sabah melalui Benta Wawasan Sdn Bhd dan Sabah Softwood Berhad, Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC), Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB), Ranhill Powertron Sdn Bhd, Koperasi Pembangunan Desa (KPD) dan Warisan Harta Sabah Sdn Bhd.

Mengenai rayuan oleh industri minyak sawit dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi kepada Kerajaan Negeri untuk menimbang semula untuk membenarkan ladang dan kilang kelapa sawit di enam daerah - Tawau, Lahad Datu, Kunak, Kalabakan, Semporna dan Kunak - yang telah diarahkan untuk ditutup sementara untuk meneruskan operasi, Mohd Shafie berkata beliau telah mengarahkan Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Christina Rundi minggu lalu untuk meneliti perkara itu. “Saya mahukan fakta. Dan saya juga mengarahkan Cawangan Khas untuk melakukan perkara yang sama, untuk mendapatkan fakta di lapangan. Saya tidak mahu hanya tahu daripada surat-surat dari syarikat yang terlibat.

“Bukannya saya tidak mahu mendengar, tetapi saya mahukan fakta sebenar. Memang benar bahawa ladang-ladang itu terletak jauh antara satu sama lain, tetapi mereka akan membawa hasil mereka ke kilang, katakan sebagai contoh, ada penanam di Semporna yang akan membawa hasil mereka ke kilang di Lahad Datu atau tempat-tempat lain, yang bermakna ada kontak antara orang,” katanya.

Beliau berkata di ladang Felda Sahabat dan Sabah Softwood ada kes positif Covid-19, sambil menambah keputusan Kerajaan Negeri mengarahkan ladang dan kilang di daerah tersebut ditutup bukan kerana keuntungan, tetapi yang lebih penting, ia membabitkan nyawa manusia.

“Saya tidak mahu ini akan membawa kepada penyebaran Covid-19. Itulah sebabnya saya perlu menguruskan secara teliti hal ini. Bagi kami, kami perlu memastikan bahawa kami meneliti butiran terperinci, walaupun ia memerah otak,” katanya.

“Tetapi jangan risau, saya akan melihat perkara ini (rayuan ladang kelapa sawit) minggu ini. Saya akan mendapat butiran daripada mesyuarat Sabah Covid-19 Command Centre malam ini. Tetapi prosesnya mungkin mengambil sedikit masa.

“Tetapi kami telah menyediakan garis panduan yang mesti dipatuhi oleh mereka, jika mereka benar-benar disahkan bebas daripada Covid-19 dan boleh dibenarkan meneruskan operasi mereka.

“Kami akan memberi mereka garis panduan untuk diikuti, dan kemudian kami akan memeriksa mereka untuk memastikan mereka mematuhinya, seperti menjaga kesihatan pekerja mereka, untuk memastikan mereka mematuhi penjarakan sosial, arahan kerja (syif), menggunakan topeng muka dan pensanitasi dan sebagainya.

“Jadi saya berharap ladang dan kilang berkenaan bersabar untuk sementara waktu. Saya tahu dan memahami keadaan yang mereka hadapi, tetapi ini membabitkan nyawa rakyat dan kami ingin memastikan tidak ada kontak.

“Kita melakukan semua ini untuk keselamatan rakyat. Kita mesti melakukan dan menguruskan sekatan pergerakan dengan betul,” katanya.

Mohd Shafie juga berkata Kerajaan Negeri sedang mempersiapkan Kompleks Sukan Likas di sini untuk menjadikannya pusat kuarantin.

“Kami sedang dalam proses melengkapkan Kompleks Sukan Likas dengan kemudahan yang kami harap semuanya boleh disiapkan dalam masa dua hingga tiga minggu.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memastikan terdapat pusat karantin yang mencukupi di sini, supaya orang-orang yang dikuarantin akan mempunyai tempat yang selesa untuk tinggal. Kami akan menutup kawasan itu supaya tidak ada sesiapa yang boleh memasuki pusat kuarantin,” katanya.

Mengenai persidangan Dewan Undangan Negeri yang dijadualkan bermula pada 16 April, Mohd Shafie berkata sidang itu akan diteruskan seperti yang diumumkan tetapi akan dilakukan mengikut sistem, seperti memendekkan tempoh masa.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here