HEADLINES :




Unit kesihatan mental terima banyak aduan mengenai pusat kuarantin
Published on: Friday, May 22, 2020
Text Size:

Kota Kinabalu: Unit Kesihatan Mental Dan Sokongan Psikososial (MHPSS) Jabatan Kesihatan Sabah menerima banyak pertanyaan dan aduan yang tidak berkaitan dengan perkhidmatan kesihatan mental.

Kebanyakan pertanyaan dan aduan diterima oleh MHPSS adalah berkaitan Pusat Kuarantin, menurut Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi (gambar). 

Beliau berkata, untuk memastikan pasukan MHPSS dapat memberi tumpuan kepada intervensi kesihatan mental, orang awam dinasihatkan untuk menyalurkan aduan dan pertanyaan selain daripada kesihatan mental kepada talian Healthline Jabatan melalui WhatsApp kepada 019-8602929, Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang.

MHPSS berfungsi untuk memberikan sokongan kesihatan mental kepada orang awam dan kakitangan Jabatan.

Bagi Keningau, pasukan MHPSS terdiri daripada 10 pegawai terlatih yang telah pun memberikan kaunseling kepada 1,325 orang, psikoedukasi kepada 450 orang dan perkongsian infografik kepada 862 orang setakat Rabu lepas. Mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan kaunseling daripada pasukan MHPSS Keningau boleh menghubungi 016-3867591 setiap hari dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Sementara itu, Sabah mencatatkan jumlah 338 kes Covid-19 pada Rabu lepas, dengan satu kes baharu dilaporkan di Kota Kinabalu membabitkan seorang kanak-kanak yang dikesan daripada sampel yang diambil di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Kanak-kanak itu dan keluarganya tiba di Ibu Negeri melalui penerbangan komersial dari Kuala Lumpur dan ditempatkan di pusat kuarantin. Pada Rabu lepas, kanak-kanak itu dimasukkan ke wad Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas untuk rawatan lanjut.

Sehingga 19 Mei, sebanyak 69,217 ujian telah dijalankan di Sabah, dengan 1,093 ujian makmal di mana dua sampel positif direkodkan, di mana satu merupakan sampel kes baharu, sementara satu lagi adalah sampel ulangan.

Seramai 30 orang kini dirawat di enam hospital berpakar di seluruh Sabah setakat Rabu lepas, sementara 303 telah pulih.

Jabatan merakamkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi atas usaha memastikan “Program Jom Balik” penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dengan penuh cermat dan cekap.

Antara usaha dilakukan termasuk memastikan semua penuntut pulang ke Sabah menjalani ujian persampelan ujian Covid-19 sebelum dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

Kerjasama itu adalah untuk membendung penularan jangkitan Covid-19 dari luar negeri Sabah. Jabatan juga dimaklumkan bahawa terdapat beberapa penuntut yang sedang menunggu giliran untuk penerbangan balik telah didapati positif Covid-19.

Jabatan akan memastikan pengurusan kontak rapat kes-kes ini yang telah pulang ke Sabah akan dilaksanakan secara sistematik.

Dalam pada itu, seramai 8,524 orang sedang menjalani kuarantin di rumah, sementara 3,076 sedang menjalani kuarantin di 52 Pusat Kuarantin di seluruh Sabah setakat 19 Mei.

Jabatan sekali lagi mengingatkan mereka yang menjalani perintah kuarantin di rumah supaya melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab.

Sebanyak 412 premis diperiksa oleh Unit Inspektorat dan Perundangan (UIP) Jabatan bersama agensi lain melalui operasi bersepadu di seluruh Sabah setakat 19 Mei. Tiada pelanggaran dilaporkan.

Dalam perkembangan lain, Jabatan juga mengambil perhatian terhadap dua pesanan yang tular di media sosial kebelakangan ini.

Setakat 19 Mei, satu kes baharu dilaporkan di Tuaran di mana pesakit mendapatkan rawatan awal di Hopsital Tuaran sebelum dirujukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

“Selaras dengan prosedur operasi standard, kerja-kerja nyah cemar dilakukan di lokasi-lokasi dikenal pasti di Hospital Tuaran,” jelas Dr Rundi.

Beliau berkata, selain itu, semua kakitangan terbabit dalam mengurus pesakit itu telah menjalani saringan dan diminta menjalani kuarantin.

“Jabatan berharap perkara ini tidak akan dibesar-besarkan sehingga menimbulkan panik,” katanya.


ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular