HEADLINES :




Umno Sabah usah bermimpi: Warisan
Published on: Friday, May 22, 2020
Text Size:

Kota Kinabalu: Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohd Azis Jamman (gambar) menyelar Umno Sabah kerana menyatakan Kerajaan Sabah pimpinan Warisan akan tumbang, dan sebaliknya meminta parti itu berhenti bermimpi untuk membentuk sebuah kerajaan pintu belakang di Sabah.

Azis berkata, walaupun hanya tinggal satu kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Umno yang dikalahkan dalam Pilihan Raya Umum 2018 nampaknya masih menyimpan hajat besar untuk membentuk “kerajaan pintu belakang” di Sabah melalui usaha “membeli” wakil rakyat agar berpaling tadah.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Sabah Abdul Aziz Julkarnain yang mendakwa kedudukan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri tergugat selepas lebih 20 Adun Sabah tidak hadir semasa sidang akhbar menyokong Shafie baru-baru ini daripada blok kerajaan.

Azis berkata, nafsu besar parti itu jelas apabila dua pemimpinnya iaitu Ketua Umno Sabah Sabah, Datuk Bung Moktar Radin dan Abdul Aziz dilaporkan masing-masing menyatakan Kerajaan Sabah akan tumbang, katanya.

Beliau berkata, Warisan amat menyedari taktik pemimpin Umno yang mahu “membeli” wakil rakyat untuk membolehkan parti itu membentuk sebuah kerajaan yang tidak demokratik.

“Kenyataan Abdul Aziz kononnya ramai Adun kerajaan tidak berpuas hati sehingga tidak hadir semasa sidang akhbar tersebut adalah sangat dangkal dan hanya cuba memainkan isu untuk mengelirukan rakyat.

“Cubaan yang baik untuk bermain isu. Kami sebenarnya tahu mereka cuba memujuk Adun kami untuk buat seperti di Kedah serta Langkah Sheraton.

“Bagaimanapun, kekuatan utama kami adalah keutuhan yang wujud dalam kalangan pemimpin kami. Jangan terkejut kalau sebaliknya Adun mereka yang akan menyertai kami,” kata Azis dalam satu kenyataan.

Abdul Aziz turut dilaporkan sebagai berkata bahawa ketidakhadiran Adun kerajaan itu juga menunjukkan apa yang bakal berlaku di Sabah, yang terus ditadbir Warisan pimpin Shafie dan sekutu Pakatan Harapan-nya, biarpun perikatan itu tumbang di Putrajaya pada Februari lepas.

Kira-kira 24 Adun tidak hadir untuk sidang akhbar 15 Mei itu yang dihadiri oleh beberapa Adun termasuk tiga timbalan ketua menteri – Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Upko), Datuk Christina Liew (PKR) dan Datuk Jaujan Sambakong (Warisan).

Abdul Aziz mendakwa, disebabkan hanya 19 daripada 43 Adun blok kerajaan yang hadir ketika itu, maka selebihnya tentu tidak puas hati dengan ketua menteri.

Beliau juga mendakwa rasa geram jelas wujud dalam kalangan 19 ahli Majlis Ahli-ahli Backbencher, yang tidak diberikan sebarang jawatan menteri atau jawatan lain.

Beliau berkata, beberapa wakil rakyat, khususnya daripada Warisan dan Upko, yang menimbang untuk berpindah ke parti pembangkang negeri, kerana mereka merasakan kerajaan negeri tidak harus menentang kerajaan persekutuan Perikatan Nasional.

Blok kerajaan Warisan-PH-Upko mempunyai 48 Adun, termasuk lima Adun Dilantik.

Pembangkang iaitu Bersatu, PBS dan Umno, memerlukan 18 Adun bertukar blok untuk menjatuhkan blok kerajaan negeri.

Sementara itu, Timbalan Ketua Wira Warisan, Mohd Ismail Ayob, berkata maruah dan integriti wakil rakyat Kerajaan Sabah bukanlah serendah seperti dikatakan oleh Bung.

Bung dalam kenyataannya berkata bahawa lompat  parti adalah perkara amat biasa berlaku di Sabah seperti tercetus di Semenanjung yang menyebabkan beberapa kerajaan negeri ditumbangkan.

Katanya, Bung tidak perlu bermimpi kerana secara logiknya bukan mudah untuk lebih 17 Adun melompat parti sekali gus, apatah lagi wakil rakyat kerajaan kini mempunyai perjuangan yang jelas di bawah kepimpinan Shafie.

Tegas beliau, rekod Umno di Sabah sudah terlalu buruk hingga menyebabkan negeri ini pernah dikenali sebagai deposit tetap Barisan Nasional (BN), tumbang pada 2018.

“Jangan mimpi semudah itu mahu rampas kerajaan negeri, seperti begitu senang untuk 17 Adun lompat parti.

“Bung mungkin terlupa apa yang Umno lakukan kepada Sabah selama ini, mengaut hasil bumi Sabah hanya untuk memperkayakan pemimpin Umno sedangkan rakyat di seluruh negeri ini masih kelaparan dan dilanda kemiskinan.

“Rakyat Sabah tidak lupa semua itu, sebab itulah mereka menukar Kerajaan Sabah sebelum ini kerana mahukan pembaharuan. Jadi wakil rakyat yang ada sekarang bersatu hati demi mencapai hak negeri ini,” tegasnya.


ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular