HEADLINES :




‘Kerajaan Warisan adalah kerajaan pintu belakang’
Published on: Saturday, May 23, 2020
Text Size:


keratan akhbar pada Jumaat.
Kota Kinabalu: Perang lidah antara Umno Sabah dan Parti Warisan Sabah (Warisan) berterusan pada Jumaat, dengan kedua-dua pihak saling menuduh mereka menggunakan taktik “pintu belakang” untuk mendapat kuasa.

Umno Sabah, khususnya, menuduh Warisan membentuk kerajaan “pintu belakang” dengan memujuk beberapa Adun Barisan Nasional selepas Pilihan Raya Umum 2018.

Pengarah Komunikasi Umno Sabah Ghazalie Ansing berkata BN Sabah merupakan kerajaan sah dan telah pun membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah ketika itu dengan 31 kerusi DUN dan diikuti dengan pelantikan semula Tan Sri Musa Aman sebagai Ketua Menteri selepas sedikit kelewatan yang kemudiannya disusuli tindakan melompat parti oleh wakil rakyat Upko dan lain-lain.

“Kerajaan Warisan merupakan kerajaan pintu belakang sebenar, dan tiada sesiapa yang dapat menafikannya.

“Dengan itu, kenyataan Ketua Wira Warisan Datuk Mohd Azis Jamman yang meminta Umno tidak bermimpi untuk membentuk kerajaan ‘pintu belakang’ di Sabah adalah ibarat meludah ke langit,” katanya dalam kenyataan, Jumaat.

Ghazalie mengulas dakwaan Mohd Azis bahawa Umno yang dikalahkan dalam Pilihan Raya Umum 2018 nampaknya masih berhajat besar untuk membentuk “kerajaan pintu belakang” di Sabah melalui usaha “membeli” wakil rakyat.

“Jika tiada yang melompat, Warisan tentu tidak akan membentuk kerajaan pintu belakang hari ini. Adakah Mohd Azis sudah panik? Jangan takut jika wakil rakyat Warisan melompat parti kerana anda yang mengajar mereka,” katanya.

Azis dipetik sebagai berkata bahawa Warisan sedar akan taktik Umno untuk “membeli” wakil rakyat untuk membolehkan parti membentuk sebuah kerajaan tidak demokratik.

Sehubungan itu, Ghazalie berkata setiap rakyat Malaysia tahu beberapa Adun BN “dibeli” oleh Warisan. Susulan pembelotan, Musa diminta untuk turun oleh TYT tetapi beliau enggan dengan menegaskan bahawa beliau dilantik secara sah sebelum kejatuhan itu dan tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan Negeri untuk seseorang Ketua Menteri hilang jawatannya, kecuali melalui undi tidak percaya di sidang Dun.

Beliau membawa perkara itu ke mahkamah dan masih menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai perkara berkenaan. Beliau turut mendakwa katamakan Warisan untuk mendapatkan kuasa hari ini telah meletakkan Sabah dalam keadaan tidak menentu dan kemiskinan.

“Inilah realiti hari ini dan rakyat Sabah mendapat akibatnya tanpa sebarang pembelaan. Kita dapat lihat hal ini daripada aspek bantuan rakyat sehinggalah kepada pembangunan negeri,” katanya.

Ghazalie turut mempersoalkan di mana perginya semua bantuan yang diumumkan, sambil menambah, hanya jumlah penerima yang disiarkan tapi ke manakah sumbangan itu tidak diketahui.

Begitu juga dengan pembangunan Negeri yang diumumkan, tapi tiada dilakukan. Katanya, ia tidak mustahil jika rakyat mula melabelkan pentadbiran Warisan hanyalah kerajaan yang tahu buat pengumuman. Menurutnya, sepanjang dua tahun pentadbiran Warisan, tiada pembangunan berlaku dan rakyat menderita, manakala ahli perniagaan mengadu. 

Ghazalie berkata, tiada siapa dapat menafikan kelajuan dan pembangunan Sabah yang telah dibina Kerajaan BN. “BN mempertahankan semua masyarakat tanpa mengira agama, kaum dan etnik, tidak seperti Warisan.”

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Sabah, Abdul Aziz Julkarnain, mencabar Mohd Azis untuk memanggil kehadiran penuh Adun untuk menunjukkan sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan membuktikan bahawa Kerajaan Sabah pimpinan Warisan tidak goyah.

“Mudah-mudahan, lebih ramai Adun kerajaan akan hadir, bukan hanya 19 seperti yang berlaku pada sidang media khas yang diadakan oleh Presiden Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau,” katanya, mengulas kenyataan Azis yang meminta Umno berhenti bermimpi untuk membentuk “kerajaan pintu belakang” di Sabah.

“Wakil rakyat tidak perlu dibeli. Mereka juga sedar bahawa rakyat akan menghukum mereka dalam pilihan raya seterusnya seperti ditunjukkan dalam pilihan raya kecil terakhir, termasuk di Kimanis.”

 


ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular