Thu, 18 Apr 2024

HEADLINES :


Upko minta Star Sabah ‘cakap serupa bikin’
Published on: Thursday, May 28, 2020
Text Size:

Upko minta Star Sabah ‘cakap serupa bikin’
Kota Kinabalu: Dr Jeffrey Kitingan dan partinya, Star Sabah, mungkin perlu mula menghargai hakikat bahawa mereka kini berada di kerusi pemandu, daripada terus berfikir bahawa mereka masih boleh terus mengambil langkah selamat dan menarik kepada sentimen popular seolah-olah mereka masih berada dalam pembangkang, kata Upko.

Setiausaha Agung Upko, Nelson W Angang (gambar), berkata mengambil pendekatan itu bukan lagi satu kemewahan yang mereka mampu, ia adalah masa untuk mereka melakukan apa yang mereka katakan mereka boleh lakukan kerana masa sedang berjalan dan orang ramai sedang menunggu.

“Sekurang-kurangnya buktikan kepada rakyat bahawa mereka layak menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan setelah memainkan peranan besar dalam mewujudkan kekacauan dan ketidakstabilan politik negara dalam menjatuhkan kerajaan PH yang telah dipilih secara majoriti,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu, sebagai menjawab hasrat Star Sabah untuk mengadakan forum umum untuk mendapatkan pandangan mengenai bagaimana untuk menyelesaikan masalah pendatang izin di Sabah.

Angang berkata setelah bertahun-tahun bersikap kritikal dan lantang menyuarakan mengenai isu-isu seperti Perjanjian Malaysia 1963 dan masalah pendatang di Sabah, mereka kini berada dalam kedudukan yang terbaik untuk melakukan perubahan.

“Tapi perkara terbaik yang mereka tawarkan hanyalah mengadakan forum awam untuk mendapatkan pandangan dan saranan daripada orang rami, bukannya mencadangkan penyelesaian konkrit.

“Kami akan fikir selepas sekian lama, mereka akan sekurang-kurangnya hadir dengan cadangan. Saya akan faham jika satu forum awam diadakan untuk mendapatkan maklum balas mengenai cadangan yang dikemukakan agar kita dapat mengadakan satu perbincangan dan perbahasan yang sihat dan berkesan mengenai cadangan tersebut” katanya.

Beliau menambah, adalah jelas bahawa niat mereka hanyalah untuk mengalihkan tumpuan dengan melontarkan tuduhan-tuduhan palsu terhadap kerajaan negeri semasa.

“Mengumumkan hasrat menganjurkan satu forum awam tanpa sebarang cadangan menunjukkan mereka hanya berminat untuk bermain sentimen rakyat. “Jangan cemari kesucian institusi sebuah kerajaan dengan menghasilkan kabus untuk mengalihkan perhatian kepada apa yang sepatutnya jelas dan sepatutnya mereka kini terajui dan sampaikan apa yang mereka katakan selama ini.

“Mungkin kerana mereka tidak mahu kehilangan kedudukan menjadi pilihan populis yang mereka percaya mereka perolehi dengan menjadi pembangkang sebelum ini.

“Mungkin mereka sedar bahawa apa sahaja cadangan yang mereka kemukakan tidak mungkin dapat dilaksanakan atau tidak dapat diterima rakyat… kerana itu cara paling selamat ialah mengadakan forum awam, dan bersembunyi di sebalik sentimen rakyat,” katanya.

Angang juga berkata terdapat pelbagai tuduhan palsu yang serius dibuat oleh Dr Jeffrey terhadap kerajaan negeri Sabah tanpa mengemukakan sebarang bukti. Salah satu tuduhan beliau adalah terhadap cadangan kerajaan persekutuan pimpinan PH sebelum ini untuk memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS) dan mengatakan itu adalah usaha kerajaan negeri untuk memihak dan melindungi pendatang tanpa izin untuk tinggal di Sabah.

“Tidak menghairankan, beliau lupa untuk menjelaskan fakta bahawa cadangan tersebut datangnya daripada Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Dalam Negeri yang ketika itu Menterinya adalah Perdana Menteri sekarang, yang mana Dr Jeffrey kini adalah sebahagian daripada kabinet kerajaan Persekutuan. “Dr Jeffrey boleh bertanya dan mendapatkan klarifikasi daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin (Yassin) berkenaan cadangan PSS yang telah diumumkan sendiri oleh beliau ketika memegang jawatan Menteri Dalam Negeri ketika itu tanpa berbincang dengan kerajaan negeri Sabah.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here