Wed, 24 Apr 2024

HEADLINES :


KDCA tidak benar Unduk Ngadau dianjur di Hongkod
Published on: Thursday, May 28, 2020
By: Larry Ralon
Text Size:

KDCA tidak benar Unduk Ngadau dianjur di Hongkod
Kota Kinabalu: Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) telah mengambil keputusan untuk tidak membenarkan dewan miliknya, Hongkod Koisaan, di Penampang dekat sini, digunakan sebagai lokasi pementasan acara akhir Pertandingan Unduk Ngadau (UN) Peringkat Negeri, pada 31 Mei ini.

Timbalan Presiden KDCA, Datuk Dr Jeffrey Kitingan (gambar), berkata mereka telah membincangkan perkara itu dan memutuskan bahawa menganjurkan acara Unduk Ngadau di Hongkod Koisaan akan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kenapa? Kerana sekalipun kamu kata 50 orang sahaja (berada di dalam dewan Hongkod Koisaan), siapa dapat menghalang orang lain untuk datang?

“Kedua, dalam sebuah pertandingan Unduk Ngadau, setiap peserta akan membuat solekan dan dandanan rambut sedangkan kita tahu bahawa salah satu bidang berisiko penyebaran Covid-19 ialah salon rambut/kecantikan.

“Dan kerana itu, adalah tidak wajar untuk menganjurkan pertandingan Unduk Ngadau sekalipun dalam KDCA. Kami telah membuat ketetapan untuk tidak menganjurkan sambutan Kaamatan tahun ini, dan secara khususnya, tidak bersetuju dengan penganjuran pertandingan Unduk Ngadau di KDCA.

“Kita telahpun buat keputusan dan berpegang kepadanya… tapi semua acara Kaamatan lain boleh dianjurkan dalam talian (Sugandoi), tapi bukan Unduk Ngadau,” katanya ketika diminta mengulas keputusan Kerajaan Negeri untuk menganjurkan dua pertandingan utama untuk Pesta Kaamatan – Unduk Ngadau dan Sugandoi – walaupun tidak ada sambutan sebenar pada penghujung bulan ini, di mana Pengerusi Penganjur Pesta Kaamatan Negeri, Datuk Peter Anthony, dilaporkan sebagai berkata pertandingan akhir Unduk Ngadau akan diadakan di Dewan Hongkod Koisaan.

Ditanya jika KDCA sudah menyampaikan keputusannya kepada jawatankuasa penganjur, Dr Jeffrey kata ya, ia telahpun di sampaikan kepada jawatankuasa itu.

“Mereka boleh ke tempat lain, jika mereka mahu, itu terpulang kepada mereka, tapi bukan di KDCA,” katanya.

Anthony, yang merupakan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, berkata Ahad lepas bahawa kedua-dua pertandingan itu (Sugandoi dan Unduk Ngadau) akan diadakan secara maya dalam fasa pemilihan.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa Majlis Wanita KDCA telah mengambil keputusan untuk tidak menganjurkan pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan tahun ini, sebaliknya mereka memilih untuk mengadakan webinar (seminar dalam talian) pada 31 Mei. Webinar itu akan menumpukan kepada pencapaian serta hala tuju masa depan pertandingan kebudayaan yang sudah lama dianjurkan itu, di Sabah.

Turut dilaporkan bahawa pengerusi penganjur Sugandoi Kaamatan Negeri di bawah KDCA menggesa penyertaan maya bagi pertandingan nyanyian itu. Pengerusi penganjurnya turut dilaporkan sebagai berkata bahawa juara pertandingan itu akan dianggap sebagai penyandang gelaran rasmi Sugandoi Kaamatan Negeri.

Pengumuman Anthony untuk menganjurkan pertandingan Unduk Ngadau itu mendapat kritikan hebat daripada warga maya di media sosial di mana ada yang bertindak mewujudkan satu pitisyen dalam talian bagi membantah penganjuran pertandingan tahuhan itu.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here