Fri, 19 Apr 2024

HEADLINES :


Nasihat bekas MP kepada Warisan
Published on: Saturday, June 27, 2020
By: Larry Ralon
Text Size:

Nasihat bekas MP kepada Warisan
Jumat
Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah dipimpin Warisan harus memikirkan semula pendiriannya untuk tidak menyokong Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) demi kepentingan Sabah dan rakyatnya yang masih memerlukan kemajuan pembangunan, kata bekas MP Sepanggar, Datuk Jumat Idris.

Menurutnya, Warisan (Parti Warisan Sabah) perlu mengetepikan kepentingan parti, politik dan kepentingan peribadi dan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan PN, semata-mata kerana Sabah dan rakyatnya memerlukan peruntukan Persekutuan untuk melangkah ke hadapan sama seperti negeri-negeri lain.

“(Tapi) jika mereka masih mahu terus bermain politik, saya fikir adalah baik untuk menukar Kerajaan Negeri semasa dengan yang lain, yang bekerjasama (menyokong/mesra) Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Sembulan di sini,  lewat Rabu lepas.

Jumat, yang menyokong Ketua Menteri dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie  Apdal ketika mereka masih bersama Umno sebelum ini sehinggalah keahliannya dalam parti itu digantung dan turut memberikan sokongan kepada pemimpin-pemimpin Warisan sehingga ke tahap tertentu walaupun bukan ahli, berkata ia adalah untuk kepentingan Sabah dan rakyatnya, yang mana perkara itu lebih penting berbanding yang lain.

Beliau menjelaskan bahawa rakyat, menilai dari apa yang dilihat di media sosial termasuk WhatApp, tidak gembira dengan perkembangan politik semasa kerana kebanyakan ahli politik telah hilang fokus.

“Sepatutnya, ketika rakyat berdepan dengan pandemik Covid-19 dan ekonomi suram, ini harus diberi tumpuan.

“Tapi kebelakangan ini, terlalu banyak politik di mana di peringkat Persekutuan, kita dengar dan nampak ia adalah antara (bekas PM) Tun Dr Mahathir Mohamad dan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim. Untuk seketika mereka bergabung, kemudian berpisah. Semua ini mengelirukan rakyat yang akhirnya bosan dengan situasi politik seperti itu.

“Perkara yang sama berlaku dalam politik di Sabah yang mana ketika ini tidak stabil kerana terlalu banyak isu dimainkan setiap hari di media sosial. Ini juga menyebabkan rakyat keliru.

“Perkara terbaru yang kita dengar ialah cakap-cakap mengenai Kerajaan Negeri akan berubah tangan kepada pembangkang mesra PN. Cakap-cakap itu menyatakan bahawa terdapat 17 Adun akan melompat untuk  menjadi Adun Bebas dan selepas itu menyokong pembangkang.

“Ini juga menjadikan rakyat keliru. Mereka yang mengundi Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lepas sudah pasti berang dengan perkembangan ini. Tapi bagi saya, Kerajaan Negeri semasa dipimpin Warisan bukan sebuah kerajaan yang memiliki kemenangan mutlak.

“Warisan menang 21 kerusi dan memerintah Sabah hari ini selepas ia membentuk satu pakatan dengan parti lain iaitu Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) , Dap dan PKR… (jadi) jika ada perpecahan dalam Warisan, perkara itu tidak mengejutkan kerana wujud masalah dalaman yang membawa kepada Adun dipilih melompat parti untuk menyokong yang lain,” katanya.

Menurut Jumat, beliau juga tidak bersetuju dengan tanggapan bahawa 17 atau 18 Adun Sabah akan meninggalkan parti Kerajaan pimpinan Warisan kerana mereka telah “dibeli”. 





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here