Fri, 19 Apr 2024

HEADLINES :


Berikan saya masa untuk fikirkan: Shafie
Published on: Tuesday, June 30, 2020
By: Larry Ralon
Text Size:

Berikan saya masa untuk fikirkan: Shafie
SHAFIE (tengah) semasa sidang media tersebut, diiring oleh Dr Yusof (kiri) dan Darell.
PENAMPANG: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, walaupun ia satu penghargaan untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) Plus, beliau memerlukan masa untuk memikirkannya sebelum membuat sebarang keputusan.

Warisan adalah sebahagian daripada PH Plus yang merangkumi Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) dan kumpulan ahli-ahli parlimen Dr Mahathir.

“Saya sangat bersyukur kerana cadangan itu datang daripada Tun Dr Mahathir Mohamad. “(Tetapi) itu satu cadangan yang saya perlu teliti secara mendalam. Saya juga perlu membincangkannya bersama rakan pemimpin negeri termasuk pemimpin parti saya.

“Ini satu cabaran besar untuk saya tetapi saya akan melihatnya secara serius.

“Tetapi… saya akan memastikan ia tidak mengambil masa lama. Sebab sekarang ini kita juga menghadapi masalah di peringkat negeri, sementara di peringkat negara kita menghadapi kemelut politik.

“Jadi terdapat banyak pertimbangan yang perlu diambil kira,” kata Mohd Shafie, apabila ditanya, semasa satu sidang media di SMK Datuk Peter Mojuntin, Isnin.

Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan mencalonkan beliau sebagai perdana menteri. Dr Mahathir, yang juga Ahli Parlimen Langkawi, berkata keputusan memilih Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna itu dicapai sebulat suara dalam satu pertemuan dengan sekutunya (Parti Amanah Negara, Warisan dan DAP) di Rumah Tetamu Sabah dekat sini pada Khamis (25 Jun).

Ditanya sama ada beliau percaya Dr Mahathir serius atau hanya mencadangkannya kerana masalahnya dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan sebelum ini Dr Mahathir juga telah membuat janji lain seperti tidak memperluaskan bekas partinya Bersatu ke Sabah tetapi akhirnya melanggarnya di samping kenaikan royalti minyak, Mohd Shafie berkata “tidak apa, saya akan telitinya secara menyeluruh”.

“Tetapi kita tidak boleh melihatnya seperti itu, hanya kerana satu insiden di Sabah.

“Seperti tuntutan kami untuk mengembalikan hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di mana daripada lebih 20 perkara, 17 telah dipersetujui oleh Tun (Dr Mahathir). Kita tidak boleh mengatakan bahawa kita mendapat semua yang kita minta. Sekurang-kurangnya kita dapat melihat bahawa terdapat perkembangan yang sangat positif.

“Sama seperti apabila kami meminta beberapa rakan saya dalam Warisan dilantik sebagai Menteri Persekutuan. Saya baru sahaja membuat permintaan itu, saya hanya menyebut nama-nama seperti Timbalan Presiden saya Datuk Darell Leiking serta Datuk VK Liew dan Datuk Mohamaddin Ketapi dan beliau (Dr Mahathir) hanya berkata ‘okey, tiada masalah’.

“Oleh itu, kami berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir kerana beliau menyedari sumbangan kami pada masa itu,” katanya, menambah beliau juga akan melihat bagaimana perkembangan nanti.

“Tetapi saya tidak memintanya. Saya telah menyebut tentang perlunya saya menguruskan Sabah. Tetapi ini adalah penghormatan bagi saya sebagai individu, ahli politik, di negara ini,” katanya, menambah beliau juga mempunyai pengalaman dalam tujuh kementerian sepanjang enam penggal (30 tahun) beliau sebagai wakil rakyat.

Mengenai betapa yakinnya beliau akan mendapat sokongan rakyat di semenanjung, Mohd Shafie, yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), berkata dia tidak boleh memaksa rakyat.

“Tetapi saya tahu saya telah berkhidmat untuk negara ini lebih daripada 30 tahun. Saya berkhidmat sebagai setiausaha politik, setiausaha parlimen, timbalan menteri dan menteri di tujuh kementerian.

“Mereka boleh menilai betapa buruknya, betapa baiknya, kerana saya tidak boleh mengatakannya. Tetapi saya rasa apa yang penting adalah bukan masanya untuk saya menjawab semua soalan ... masanya akan tiba, beri saya sedikit masa.”

Mohd Shafie berkata antara perkara yang beliau perlu teliti juga adalah siapa yang akan menggantikannya sekiranya beliau bersetuju menerima pencalonan itu.

“Banyak perkara. Saya tidak boleh katakan ‘oh okey, selamat tinggal semua’ ... Saya bukan pemimpin seperti itu. Saya tidak melakukannya semata-mata kerana jawatan, kedudukan yang lebih baik.

 “Ia bukan untuk kemegahan diri atau cita-cita peribadi. Apa yang penting ialah kita membangun negara dan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie, meluluskan permintaan sekolah itu untuk 110 katil bagi asramanya semasa lawatan tersebut yang bertujuan untuk meninjau kesan banjir hujung minggu lepas serta rancangan pencegahan Covid-19.

SMK Datuk Peter Mojuntin adalah salah satu daripada 221 sekolah menengah kerajaan dan 15 sekolah swasta dengan kelas Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam, yang baru sahaja membuka semula sesi persekolahan di Sabah. Mohd Shafie juga mengunjungi SM Agama di Bukit Padang.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, Darell yang juga Ahli Parlimen Penampang, Adun Kapayan Jannie Lasimbang dan Pengarah Pendidikan Negeri, Dr Mistirine Radin turut hadir.

Bernama turut melaporkan bahawa Mohd Shafie mahu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memantau perkembangan kesihatan para pelajar termasuk guru-guru dan pengawal keselamatan di semua sekolah setiap hari.

Mohd Shafie berkata Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christian Rundi telah dimaklumkan bahawa laporan penuh mengenai perkembangan kesihatan di semua sekolah yang beroperasi ketika ini perlu dihantar kepadanya dari semasa ke semasa.

Beliau berkata ia penting bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dalam memastikan keselamatan dan kesihatan semua pelajar, guru-guru dan kakitangan sekolah sentiasa terjamin dan bebas daripada jangkitan wabak Covid-19.

“Saya ingin mengetahui laporan itu supaya memastikan jangan ada dalam kalangan mereka dijangkiti wabak ini (Covid-19) kerana ia boleh menjejaskan usaha untuk membuka (semula) sesi persekolahan,” katanya.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri membekalkan hampir 750,000 keping pelitup muka kepada semua sekolah terbabit, selain turut mengedarkan 60,000 botol cecair basmi kuman untuk kegunaan sekolah.

Menyedari keperluan pelitup muka, Mohd Shafie berkata, kerajaan Sabah menempah 10 juta keping pelitup muka dari China dan tempahan itu dijangka tiba di negeri itu dalam tempoh terdekat.

     





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here