Sat, 20 Apr 2024

HEADLINES :


Jangan potong gaji kakitangan UCSF: KM
Published on: Thursday, July 02, 2020
By: Larry Ralon
Text Size:

Jangan potong gaji kakitangan UCSF: KM
UCSF
Kota Kinabalu: Tiada potongan gaji dan penamatan perkhidmatan kakitangan Universiti Kolej Yayasan Sabah (UCSF), kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie, yang juga Canselor UCSF, berkata beliau telah meminta pengurusan UCSF untuk menyelesaikan masalah itu dengan segera, sekali gus mempercepatkan pembayaran gaji kakitangan dan tidak memotong gaji mahupun menamatkan perkhidmatan mereka.

“Saya telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Safar Untong) untuk membuat susulan perkara itu. “Selain itu, saya mahu merombak pengurusan UCSF agar institusi itu dapat diuruskan dengan baik,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas beliau menerima sumbangan daripada pelbagai pihak di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas laporan bahawa institusi milik Yayasan Sabah (YS) itu akan mengambil langkah memotong separuh gaji dan mungkin menamatkan perkhidmatan ratusan kakitangan untuk bertahan dengan penurunan mendadak dalam pengambilan pelajar disebabkan pandemik Covid-19.

Baru-baru ini dilaporkan bahawa Naib Canselor UCSF Dr Mohamed Haleem Mohamed Razi menerusi satu memo menjelaskan UCSF mengambil langkah berkenaan sebagai sebahagian penjimatan kos akibat penurunan pengambilan pelajar untuk semester April.

“Walaupun bantuan kewangan dan geran biasiswa berjuta ringgit diperolehi oleh UCSF daripada pelbagai agensi, hakikatnya pendaftaran pelajar baharu telah gagal,” kata Mohamed Haleem.

“Hanya 18 peratus sasaran kami untuk semester April dicapai, dan ini menjejaskan kedudukan kewangan UCSF.”

Di bawah skim penjimatan kos itu, kakitangan boleh dikenakan potongan gaji 50 peratus dengan masa bekerja dikurangkan kepada 20 jam seminggu.

Jika pada September, tiada perubahan dalam status kewangan UCSF, bilangan kakitangan aktif akan dikurangkan sehingga minimum untuk ia terus bertahan.

“Sebahagian kakitangan akan diminta bercuti tanpa gaji  bermula Oktober. Mereka akan dibenarkan untuk mencari kerja di tempat lain,” tambah Haleem dalam memo itu, yang diberikan kepada kakitangan UCSF.

UCSF, yang ditubuhkan pada 2013, merupakan subsidiari Yayasan Sabah, sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri. Ia mempunyai hampir 200 kakitangan dengan 400 pelajar berdaftar buat masa ini.

Susulan pengeluaran memo itu, Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) Sabah berkata kakitangan UCSF tidak pernah bersetuju untuk membenarkan gaji kasar mereka dipotong sebanyak 50 peratus dan ia sengaja diputuskan oleh pengurusan tanpa perundingan terlebih dahulu.

Setiausaha MTUC Sabah, Catherine Jikunan, berkata semua kakitangan hanya diberikan memo itu selepas keputusan dibuat, sambil menuduh UCSF mengambil kesempatan dan menggunakan Covid-19 untuk langkah itu.

“UCSF tidak memenuhi tanggungjawab terhadap kakitangan sejak 2017. Kenaikan gaji tahunan mereka tidak dibayar seperti dinyatakan dalam Kontrak Pekerjaan mereka.

“UCSF lewat membayar gaji kepada kakitangan sejak Februari 2019 dan gaji Mei 2020 hanya dibayar separuh,” kata Jikunan.

Beliau berkata UCSF memotong caruman kakitangan untuk KWSP, Perkeso dan Skim Insurans Pekerjaan (SIP) daripada gaji mereka tetapi gagal meremitkan jumlah itu kepada KWSP sejak April 2020, Perkeso sejak Jun 2019 dan SIP sejak Julai 2019.

Beliau juga mendakwa UCSF bersikap berat sebelah dan menjadikan rakyat Sabah sebagai mangsa. “Pensyarah tempatan kami diberhentikan. Bagaimanapun, seorang tutor warga asing dikekalkan dan dijadikan Penyelaras.

Beliau mendakwa UCSF juga menjadikan pelajar Sabah sebagai mangsa.

“Bayangkan seorang pelajar Sabah mengambil ijazah dan separuh jalan kurssus, penyelia tesis mereka diberhentikan,” katanya, menambah terdapat kes pelajar selesai kursus mereka tetapi belum mendapat ijazah.

Jikunan kemudian mendakwa bahawa pengurusan UCSF memaksa kakitangan bersetuju menandatangani potongan gaji 50 peratus itu. “Mereka diugut bahawa kegagalan berbuat demikian bermakna cuti tanpa gaji atau meletak jawatan.”

Beliau menyoal kenapa UCSP mengambil langkah itu memandangkan kerajaan telah mengumumkan subsidi gaji untuk tiga bulan lagi untuk mereka mengekalkan kakitangan mereka. Kenapa UCSF tidak mengambil subsidi itu? Kebanyakan kakitangannya adalah kumpulan B40,” katanya.    





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here