Sat, 20 Apr 2024

HEADLINES :


Sekarang bukan masa fikir soal siapa PM
Published on: Friday, July 03, 2020
Text Size:

Sekarang bukan masa fikir soal siapa PM
Chua
Kota Kinabalu: Terdapat perkara lebih penting untuk pemimpin politik tangani, daripada melibatkan diri dengan permainan politik, kata naib pengerusi PKR Sabah, Kenny Chua.

“Saya fikir sekarang bukan masanya untuk terlalu memikirkan soal siapa yang harus menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, Khamis.

“Bagi saya, Pakatan Harapan (PH) telah berjanji kepada rakyat bahawa Anwar akan menjadi Perdana Menteri. Tunaikan saja.

“Kalau tidak, biarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkhidmat sehingga pilihan raya umum seterusnya dan apabila masanya tiba, kita kembali kepada rakyat untuk memilih siapa yang layak menjadi Perdana Menteri. Itu saja.”

Chua yang juga Pembantu Menteri Kewangan berkata, negara dan Sabah khususnya, menghadapi terlalu banyak isu belum selesai yang memerlukan tindakan segera sebagai sebahagian daripada janji kerajaan kepada rakyat.

“Kita masih melawan pandemik Covid-19. Ekonomi kita tidak begitu baik dan menjejaskan pekerjaan dan nafkah rakyat.

“Kita juga masih mempunyai isu belum selesai di Sabah seperti pendatang tanpa izin. Kerajaan telah mengatakan bahawa IMM13 adalah dokumen tunggal paling sesuai untuk menyelesaikan masalah yang sudah lama berlarutan ini. Tetapi sehingga kini, tiada penjelasan bagaimana ia boleh jadi begitu.

“Terlalu banyak isu di lapangan yang kita perlu selesaikan. Persoalan siapa yang harus menjadi Perdana Menteri adalah perkara terakhir dalam fikiran semua orang pada masa ini. Kita selesaikan saja perkara ini dalam pilihan raya umum berikutnya,” cadang beliau.

Beliau berkata pemimpin-pemimpin tidak harus lupa bahawa rakyat mengharapkan mereka bekerja, bukan sibuk bermain politik.

Sementara itu, Chua berkata beliau menyokong penuh presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri negara walaupun Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah dinamakan sebagai calon untuk jawatan itu.

Beliau menegaskan bahawa fikirannya tidak pernah berbelah bagi antara presiden parti dan ketuanya dalam kerajaan negeri kerana “rakyat” telah pun dijanjikan bahawa Anwar akan mengambil alih sebagai Perdana Menteri dalam pilihan raya umum sebelum ini.

“Ini pendapat peribadi saya mengenai perkara ini. Saya menghormati Shafie sepenuhnya sebagai Ketua Menteri kita.

“Tetapi sebagai ahli parti, kesetiaan saya adalah kepada presiden saya yang, dalam fikiran ‘rakyat’ yang mengundi untuk kami menentang Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum terakhir, dijanjikan akan menjadi Perdana Menteri seterusnya.

“Janji tetap janji dan kita mesti menunaikannya. Bagaimana ‘rakyat’ menilai kita nanti jika kita tidak menepati janji kita?

“Saya percaya bahawa mereka berharap kita menjadi pemimpin dengan integriti dan kejujuran tertinggi. Mereka mengharapkan kita menjadi insan yang sentiasa menepati kata-kata kita.”

Pada Khamis, dilaporkan bahawa pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew menyokong kedua-dua Shafie dan Anwar sebagai calon PH untuk Perdana Menteri.

Liew dilaporkan sebagai berkata bahawa semua rakyat Sabah berbesar hati dengan kemungkinan seorang rakyat Sabah atau Sarawak menjadi Perdana Menteri, tetapi menambah bahawa Anwar merupakan calon Perdana Menteri PH “selama ini”.

Beliau juga berkata bahawa PKR Sabah konsisten dalam pendiriannya bahawa Anwar harus menjadi Perdana Menteri, selaras dengan keputusan PH bahawa Anwar harus diberikan jawatan nombor satu negara.

Bagaimanapun, turut dilaporkan pada Khamis bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad mengulang kata  yang Anwar bukan calon sesuai kerana beliau kurang popular dalam kalangan masyarakat Melayu.

Dr Mahathir dipetik sebagai berkata bahawa dalam tiga pilihan raya umum sebelum ini, Anwar gagal mendapat undian Melayu.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here