Fri, 26 Apr 2024

HEADLINES :


Peniaga tamu di Sabah digesa pasar produk, perkhidmatan atas talian
Published on: Monday, July 13, 2020
By: Hayati Dzulkifli
Text Size:

Peniaga tamu di Sabah digesa pasar produk, perkhidmatan atas talian
Gambar Pexels.com (untuk ilustrasi sahaja)
Kota Kinabalu: Peniaga tamu di Sabah digesa memasarkan dan mempromosi hasil tanaman dan perkhidmatan mereka menerusi media sosial di atas talian dengan mewujudkan kumpulan pesanan di WhatsApp atau Telegram akan memudahkan mereka dalam mendapatkan bekalan atau pelanggan.

Pegawai khas kepada Ahli Parlimen Keningau merangkap Adun Tambunan Datuk Dr Jeffrey G. Kitingan, Arlinsia Agang berkata langkah itu, yang mengumpulkan semula penjaja di tamu dan peniaga kecil-kecilan ke dalam satu kumpulan, akan menambah baik dan meningkatkan rangkaian mereka bagi menjual produk masing-masing.

Beliau menasihati kumpulan atas talian diwujudkan berdasarkan daerah masing-masing bagi memudahkan penghantaran produk kepada pelanggan mereka di dalam kawasan sama.

“Saya pernah menyaksikan keberkesanan langkah ini menerusi kumpulan di WhatsApp yang dikenali sebagai ‘Pasar Online Marak-Parak’ di mana hampir semua peniaga Tamu di Kota Marudu ada dalam kumpulan itu yang diwujudkan tahun lepas dan masih lagi aktif sekarang.

“Saya difahamkan terdapat 300 hingga 400 peniaga tamu dan kecil-kecilan dari Kota Marudu dan daerah berdekatan menyertai kumpulan itu sehingga mereka memilih untuk tidak beroperasi di tapak tamuk di Kota Marudu kerana mereka boleh menjana pendapatan lebih baik secara atas talian berbanding pergi ke tapak tamu untuk menjual hasil tanaman mereka.

“Sehubungan itu, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac, peniaga dalam kumpulan itu masih menjalankan perniagaan mereka seperti biasa dengan melakukan pemasaran dan menjual produk serta perkhidmatan di atas talian yang nampaknya sudah sebahagian daripada kebiasaan baharu hari ini untuk peniaga kecil-kecilan ini,” kata Arlinsia.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya selepas mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jeffrey G. Kitingan merasmikan program pemimpin bertemu peniaga kecil Bumiputera Sabah di sini, Ahad.

Persatuan Kebajikan Pekebun-Pekebun Kecil Sawit & Getah Bumiputera Sabah (Peradap) menganjurkan program itu bagi memberikan peluang kepada ahli mereka menyuarakan masalah dan keperluan mereka. Turut hadir, Presiden Peradap Datuk Thomas Mojuga Tukung.

Arlinsia yang mewakili Dr Jeffrey turut mengumumkan dana sebanyak  RM15,000 kepada Peradap untuk membina tiga perigi untuk membekalkan air kepada masyarakat luar bandar yang berhadapan masalah air di tiga kampung pedalaman di Sugut, Sandakan.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here