Fri, 26 Apr 2024

HEADLINES :


Tuduhan tidak benar, mengelirukan: Pemaju
Published on: Monday, July 13, 2020
Text Size:

Tuduhan tidak benar,  mengelirukan: Pemaju
Kong
Kota Kinabalu: Aggasf Construction Sdn Bhd (Aggasf) dan Jeramas Sdn Bhd (Jeramas), pemaju usaha sama untuk pembangunan komersil Sabindo Tawau dengan tegas membantah dakwaan yang dibuat oleh Uskup Gereja Kristian Basel, Uskup Dr. James Wong dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Jimmy Wong, berkenaan projek pembangunan tersebut, seperti yang dilaporkan dalam harian berbahasa Inggeris tempatan, baru-baru ini.

“Semua tuduhan itu tidak benar dan mengelirukan. Mereka cuba mengelirukan Ketua Menteri Sabah dan orang ramai,” kata Dato’ Sri Alex Kong, pengarah urusan kedua-dua syarikat itu, dalam satu kenyataan, di sini, Ahad.

Beliau mengambil contoh, tuduhan bahawa Majlis Perbandaran Tawau (MPT), yang merupakan pemilik projek, telah memberikan penghakiman persetujuan untuk mengikuti arahan mahkamah untuk merobohkan struktur yang tidak siap (Blok D) di lokasi tersebut, adalah palsu dan mengelirukan.

“MPT hanya memberikan persetujuannya kepada Plaintif untuk permohonan injunksi dan bukan penghakiman persetujuan kepada mahkamah untuk membuat keputusan apa pun dan / atau perintah agar MPT mengikut atau patuh. Tuduhan ini tidak berasas dan mengelirukan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad. Kong juga mengingatkan Wong, yang merupakan Plaintif utama dalam saman terhadap Pemaju bahawa Plaintif dalam Pernyataan Tuntutan bertarikh 26 Januari 2006 jelas menyebut bahawa Pemaju boleh membangunkan 'Blok D 'setelah tanah tersebut berjaya diberi milik kepada MPT lengkap dengan hak milik tanah. Hak milik tanah untuk sebidang tanah negeri tersebut kemudiannya dikeluarkan kepada MPT pada 2 Julai 2019 untuk pembangunan komersial.

Plaintif kemudian mengarahkan peguamnya Amin Jaafar and Co untuk menarik balik permohonannya untuk meminda tarikh Perintah Mahkamah bertarikh 23 Oktober 2009. Mahkamah membenarkan permohonan Plaintif untuk menarik diri dengan kos RM1,000 yang diberikan kepada Pemaju,” kata Kong.

Beliau menegaskan bahawa, ini secara efektif bermaksud bahawa Wong dan Jimmy tidak lagi memiliki hak undang-undang untuk meneruskan pendakwaan jahat ini untuk menuntut Pemaju meroboh bangunan yang tidak siap.

Mengenai Perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 23 Oktober 2009 yang didakwa oleh Wong memihak kepada plaintif iaitu untuk merobohkan struktur yang tidak siap, Kong berkata Plaintif dalam Pernyataan Tuntutan bertarikh 26 Januari 2006 secara jelas menyatakan bahawa itu adalah “Perintah yang memaksa Jeramas Sdn Bhd sama ada oleh mereka sendiri atau pekhidmat atau ejen mereka atau mana-mana daripada mereka atau sebaliknya untuk segera meroboh, membuang dan membersihkan semua tumbuhan, peralatan dan bahan yang ada di Blok D”.

Dan enam tahun kemudian, sekitar Februari 2015, Plaintif memohon prosiding penghinaan kepada mahkamah dengan tuduhan bahawa pemaju gagal mematuhi Perintah Mahkamah untuk meroboh struktur yang belum selesai.

Pada 25 Ogos, 2015, hakim Mahkamah Tinggi, Pesuruhjaya Kehakiman Azhahari Kamal Bin Ramli membuat keputusan bahawa Perintah Mahkamah bertarikh 23 Ogos, 2009 bercakap mengenai tanggungjawab pemaju untuk meroboh, mengalih dan membersihkan semua tumbuhan, peralatan dan bahan di Blok D. Ia tidak bercakap mengenai tanggungjawab pemaju untuk meroboh, mengahli dan membersih struktur tidak siap sedia ada di Blok D.

Azhahari selanjutnya berkata bahawa Perintah Mahkamah tersebut telah disahkan oleh Mahkamah Rayuan, dan tidak terbuka kepada Plaintif untuk memperkuat Perintah Mahkamah itu dengan membaca Alasan Keputusan ke dalam Perintah Mahkamah bertarikh 23 Oktober 2009.

Berdasarkan fakta dan alasan di atas, permohonan Plaintif untuk penghinaan ditolak oleh mahkamah dengan kos RM15,000 diberikan kepada pemaju.

Kong berkata sehingga ke hari ini, beliau tidak menerima sebarang Perintah Mahkamah untuk menuntut beliau meroboh, mengalih dan membersihkan struktur tidak siap itu.

“Tidak ada perintah Mahkamah Persekutuan untuk memerintahkan kami, sebagai pemaju, untuk meroboh struktur tidak siap dan haram seperti yang didakwa oleh Bishop James Wong. Dakwaan ini tidak benar dan mengelirukan,” katanya.

Beliau juga dengan tegas menolak tuduhan Jimmy bahawa kerana tidak ada campur tangan pihak berkuasa termasuk pejabat Peguam Negara, pemaju berjaya meneruskan pembangunan komersial tersebut selama dua tahun sehingga Jimmy dan Plaintif mendapat Perintah Mahkamah pada 23 Oktober 2009.

Ini, katanya, sekali lagi merupakan pembohongan terang-terangan untuk mengelirukan orang awam dan kerajaan Negeri. “Sebagai Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, jawatan kanan dalam kerajaan negeri, Jimmy harus mengatakan yang sebenarnya ketika bercakap di khalayak ramai dan menjalankan tugas rasminya menurut peraturan undang-undang.

“Jika tidak, imej kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, sebagai Ketua Menteri Sabah akan terjejas,” katanya.

Kong berkata jika Jimmy mempunyai keluhan dan / atau penemuan mengenai apa-apa perkara, beliau harus menyedia dan menyerahkan laporannya secara rasmi kepada Ketua Menteri, untuk bliau membaca dan mengeluarkan kenyataan rasmi, jika perlu.

“Bukannya Jimmy sesuka hati mengeluarkan kenyataan rasmi di media,” katanya.

Beliau juga menasihati Jimmy agar tidak membazir masa dan wang untuk membiayai Plaintif dalam kes itu, sambil menambah bahawa beliau akan membuktikan kesalahan Jimmy di mahkamah.

“Saya akan mengarahkan peguam-peguam saya untuk secara rasmi menuntut Uskup Wong dan Jimmy untuk memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan palsu, memfitnah dan mengelirukan terhadap saya dan syarikat-syarikat saya, secara terbuka,” katanya.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here