Enam kluster baharu dikesan: KP Kesihatan
Published on: Friday, October 23, 2020
By: Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan enam lagi kluster baharu, menjadikan kluster aktif Covid-19 di negara ini kini berjumlah 99.Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (gambar) berkata dua kluster direkodkan di Selangor iaitu Kluster Jambu dan Kluster Bah Mutiara, manakala kluster lain adalah Kluster Tinusa direkodkan di Sabah dan Sarawak, Kluster Sauh (Sabah), Kluster Sofi (Negeri Sembilan) serta Kluster Umboo (Melaka).ADVERTISEMENT
Beliau berkata 33 kes baharu positif Covid-19 dikesan dalam Kluster Sofi di mana sejumlah 160 individu disaring sehingga kini.
‘’Kluster ini melibatkan daerah Seremban dan kes indeks bagi kluster ini (kes ke-22,198) yang telah dikenal pasti positif, hasil saringan bergejala pada Selasa lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Rembau.
“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 33 lagi kes positif,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini Covid-19 Khamis.
Bagi Kluster Tinusa, beliau berkata kluster itu dikenal pasti hasil saringan individu bergejala (kes ke-12,844) pada 6 Oktober di daerah Sandakan dan telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent.ADVERTISEMENT
Katanya saringan kontak rapat telah mengenal pasti 33 lagi kes positif dengan tiga merupakan kes baharu.
“Kluster Sauh pula, kluster ini melibatkan daerah Kota Kinabalu dan Papar di Sabah serta daerah Miri di Sarawak di mana kes indeks bagi kluster ini (kes ke-16,540 dan kes ke-17,508) telah dikenal pasti positif hasil saringan bergejala pada 13 Oktober.
ADVERTISEMENT
“Sehingga jam 12 tengah hari ini, sejumlah 149 individu daripada kluster ini telah disaring, dengan 17 kes dikesan positif dan daripada jumlah itu tiganya merupakan kes baharu,” katanya.
Sementara itu, Kluster Jambu dan Kluster Bah Mutiara pula melibatkan daerah Hulu Langat, Selangor.
Bagi Kluster Jambu, indeks bagi kluster ini (kes ke-19,367) telah dikenal pasti positif pada 16 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.
‘’Sejumlah 139 individu telah disaring, 15 kes daripadanya dikesan positif dengan enam daripadanya merupakan kes baharu.
“Kluster Bah Mutiara pula dikesan di Titiwangsa dan Lembah Pantai di Kuala Lumpur. Kes indeks bagi kluster ini (kes ke-10,507) telah dikenal pasti positif serta mempunyai sejarah pulang dari kawasan berisiko tinggi iaitu Sabah,’’ katanya.
Dr Noor Hisham berkata kluster keenam pula iaitu Kluster Umboo melibatkan daerah Alor Gajah, Melaka dan kes indeks (kes ke-21,322) telah dikesan positif hasil saringan di Depoh Tahanan Imigresen pada Ahad lalu.
Katanya, individu itu telah dimasukkan ke Hospital Melaka dan saringan kontak rapat telah mengenal pasti tiga lagi kes positif.
“Setakat 12 tengah hari ini, sejumlah 373 individu telah disaring, empat kes dikesan positif Covid-19 yang mana satu merupakan kes baharu,” katanya.
Sementara itu, sebanyak 2,145 pelajar dikesan positif Covid-19 sejak Februari lalu hingga Rabu lepas, katanya.
Katanya, sebanyak 1,257 pelajar dikesan positif pada gelombang ketiga pandemik itu dari 22 September hingga Rabu.
Beliau berkata 830 kes membabitkan pelajar berusia tujuh hingga 12 tahun manakala 1,315 kes membabitkan pelajar berusia 13 hingga 18 tahun.Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
Dalam gelombang ketiga, 587 kes membabitkan pelajar berusia tujuh hingga 12 tahun dan 670 kes pelajar berusia 13 hingga 18 tahun, katanya.
Katanya, sejak gelombang ketiga melanda negara, sejumlah 12 sekolah yang terkesan dengan wabak tersebut ditutup selama seminggu bagi proses nyahkuman dan saringan kontak rapat dilakukan.