HEADLINES :




‘Dakwaan sistem kesihatan di Sabah lumpuh tidak benar’
Published on: Tuesday, October 27, 2020
By: Bernama
Text Size:


Noor Hisham
PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyangkal dakwaan bahawa sistem kesihatan di Sabah semakin lumpuh ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19 di negeri ini.

Beliau berkata perkara itu tidak benar, malah isu kewangan tidak pernah timbul dalam usaha menangani wabak tersebut memandangkan Bahagian Kewangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah meluluskan banyak peruntukan termasuk perolehan darurat yang diperuntukkan kepada Sabah.

“Sekarang ini, ada anggapan daripada masyarakat seolah-olah kita tidak melaksanakan atau sistem kesihatan akan lumpuh, tetapi ia tidak benar.

“Dari segi kemampuan hospital (di Sabah), penggunaan katil hanya 52 peratus dan ICU (Unit Rawatan Rapi) mempunyai 128 katil dengan penggunaan 60 peratus. Kita juga ada 26 Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah iaitu untuk rawatan kes tahap satu dan dua.

“Sekarang, kami sedang pertimbangkan kepada pesakit tahap tiga yang stabil dan tidak mempunyai risiko boleh juga dirawat di pusat kuarantin. Kami juga sedang melihat, enam lagi pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah jika ada keperluan,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di KKM di sini pada Isnin.

Sebuah portal berita melaporkan sistem kesihatan di Sabah yang masih ketinggalan dari segi infrastruktur dan kekurangan pakar serta peralatan perubatan perlu ditambah baik terutama dalam menangani krisis pandemik Covid-19 di negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham menjelaskan peruntukan kecemasan kepada Sabah sebanyak RM30 juta juga sudah disalurkan kepada negeri itu.

Selain itu, beliau turut menyangkal laporan yang mengatakan hanya terdapat sembilan hospital di negeri di Bawah Bayu itu.

“Semalam laporan mengatakan kita hanya ada sembilan hospital di Sabah. Tidak benar, kita ada 24 hospital di Sabah dengan makmal kesihatan awam di Kota Kinabalu.

“Kami mengguna pakai 24 (hospital), tambah hospital medan, kita ada 25 hospital yang berfungsi dengan baik dan kita tiada kekurangan katil dan peralatan contohnya ventilators dan sebagainya setakat ini,” katanya.

Ditanya mengenai pesakit Covid-19 di Sabah untuk menerima rawatan di rumah, Dr Noor Hisham berkata idea itu akan dipertimbangkan sekiranya kekurangan katil di hospital atau pusat kuarantin.

“Setakat ini itu bukan dasar kita lagi. Walau bagaimanapun saya telah menjelaskan kepada pesakit selepas melakukan swab sementara menunggu keputusan. Jika tempatkan pesakit yang menunggu keputusan di pusat rawatan atau kuarantin maka mereka akan bercampur dengan pesakit Covid-19, jika anda negatif. Jadi kami minta mereka tinggal di rumah,” katanya. – Bernama

Dr Noor Hisham berkata berlaku kelewatan mendapatkan keputusan, bagaimanapun ia telah diatasi selepas Kementerian Kesihatan (KKM) menghantar 200,000 kit ujian pantas RTK-Antigen (RTK-Ag) ke Sabah yang boleh menghasilkan keputusan dengan cepat. 

Dr Noor Hisham menegaskan sistem kesihatan di Sabah tidak lumpuh, bagaimanapun beliau mengakui situasi lebih sukar dan mencabar.

“Bagaimanapun kami lebih bersedia kali ini berbanding sebelum ini pada Mac dari segi sumber manusia, kemudahan dan peralatan perlindungan diri (PPE),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata penyelarasan di Sabah perlu dipertingkatkan lagi untuk memenangi perang melawan Covid-19, sambil menambah terdapat tanda positif di pantai timur Sabah dan tumpuan kini di pantai barat terutama di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.

“Kami berpendapat dalam tempoh empat minggu lagi mampu mengawal jangkitan,” katanya. 



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular