Apa khabar Kak Julitah dan Kak Roziah di Sabah?
Published on: Friday, October 30, 2020
By: Bernama
Roziah (kiri) dan Julitah (kanan) bersama artis Yee I-Lann (tengah) bergambar berlatarkan ‘Tikar-A-Gagah’ yang dipamerkan di Galeri Nasional Singapura. – fotoBERNAMA
SINGAPORE: Apa khabar agaknya Kak Julitah Kulinting dan Kak Roziah Jalalid di Sabah? Wajah mereka sering terlintas di fikiran penulis setiap kali data berkaitan Covid-19 diumumkan.Apabila Malaysia mencapai kes harian pertama empat digit dengan 1,228 pada 24 Oktober lepas dan 72.4 peratus adalah dari Sabah, penulis tidak berlengah lagi dan terus menghubungi kedua-dua mereka.ADVERTISEMENT
Dari kejauhan, mereka mengatakan bahawa tiada apa-apa yang perlu dirisaukan.
Kak Julitah bagaimanapun melahirkan kebimbangan terhadap dua anaknya yang bertugas sebagai jururawat masing-masing di Hospital Keningau dan Kota Kinabalu.
“Tolong doakan anak-anak saya,” kata Kak Julitah yang tinggal bersama keluarga besarnya di Kampung Batu Lunguyan, Keningau.
Kak Roziah pula, bersama rakan-rakannya dari Persatuan Wanita Pulau Omadal cukup sibuk membantu beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pasukan kesihatan dari hospital.ADVERTISEMENT
Walaupun sibuk, Kak Roziah masih berkesempatan mengirimkan dua gambar kepada penulis yang menunjukkan dia dan rakan-rakan dalam pakaian khas ketika membantu usaha pengagihan makanan di sekitar Pulau Omadal, Semporna.
Siapakah kedua-dua wanita istimewa ini?
ADVERTISEMENT
Penulis bertemu mereka pada November tahun lepas di Galeri Nasional Singapura untuk pelancaran ‘Tikar-A-Gagah’ - satu kerjasama antara pelukis Yee I-Lann dan 25 penenun wanita dari masyarakat darat dan laut di Sabah, sebuah negeri di utara Borneo Malaysia.
Kak Julitah mengetuai penenun dari komuniti Dusun dan Murut di Keningau manakala Kak Roziah pula mengetuai penenun dari masyarakat Bajau Sama DiLaut di Semporna.
Kini, tikar tenunan dua sisi gergasi itu gah digantung di ruang pameran terletak di ‘Former Supreme Court Wing’ di Galeri berkenaan.
‘Tikar-A-Gagah’ menampilkan motif tradisional dan kontemporari, yang memperlihatkan pertemuan dan proses kerjasama antara mereka dijalankan selama 18 bulan itu.
Motif tenunan tradisional yang diturunkan secara lisan dari satu generasi ke generasi penenun berikutnya, merangkumi corak abstrak, inspirasi maritim masyarakat Bajau laut serta motif grafik pemandangan, fauna dan perhimpunan masyarakat darat Dusun dan Murut.
Bahagian depan tikar itu dibuat oleh penenun Bajau Sama DiLaut dan merangkumi motif berwarna terang yang mengaitkan gaya hidup mereka seperti Nekiutan (udang karang) dan Sambulayang (pelayaran rumah bot)
Bahagian satu lagi memaparkan anyaman buluh semula jadi oleh penenun Dusun dan Murut merangkumi motif seperti Nantuapan (orang datang bersama) dan Pinungoh Nandayunan (lereng bukit tanpa penghujung).
Corak kontemporari dikenali sebagai Mansau Ansau (berjalan tanpa mengetahui mana hendak pergi) menekankan kerjasama antara Yee, yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah dan semua penenun.
‘Tikar-A-Gagah’ adalah salah satu daripada siri ‘OUTBOUND’, iaitu hasil karya seni yang unik oleh pengkarya seni terkemuka dari seluruh dunia.Stay up-to-date by following Daily Express’s Telegram channel.
Daily Express Malaysia
Setiap karya dalam siri ‘OUTBOUND’ itu akan dipamerkan di Galeri itu sekurang-kurang selama tiga tahun.
Diharapkan Kak Julitah, Kak Roziah dan semua penenun Dusun, Murut dan Bajau Sama DiLaut, baik-baik sahaja dan sentiasa selamat dalam situasi penularan wabak tidak diingini di Sabah ini.