HEADLINES :


ADVERTISEMENT



PTI kena penjara 3 tahun
Published on: Saturday, November 21, 2020
By: Cynthia D Baga
Text Size:


Gambar: Pixabay.com
Kota Kinabalu: Seorang warga Filipina berumur 48 tahun yang tinggal di negeri ini selama 25 tahun tanpa dokumen, dan menggunakan MyKad orang lain, dipenjara sejumlah tiga tahun dan dikenakan dua sebatan rotan.

Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman penjara setahun dan dua sebatan rotan kepada Majang Jalain yang mengaku bersalah memasuki negeri ni secara haram melalui jalan tikus.

Dia ditangkap pada pukul 11.45 pagi 6 November tahun ini di hadapan Kedai Billiard Jafrin Bersaudara di Pekan Putatan Baru, Putatan selepas gagal menunjukkan dokumennya kepada polis semasa pemeriksaan.

Kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya, serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Semasa rayuan, Majang yang tidak diwakili, meminta hukuman ringan sambil mengatakan bahawa sebelum ditangkap, dia bekerja dengan menghantar pisang dari Sipitang ke Putatan.

Mahkamah diberitahu bahawa Majang mempunyai satu lagi tuduhan di Mahkamah Majsitret kerana menggunakan MyKad orang lain, dan bertanya kepada Majang dari mana dia mendapat dokumen itu.

Majang memberitahu mahkamah bahawa dia menjumpai MyKad itu di sebuah masjid.

Pegawai Pendakwa, ASP Sabrina Jinius menggesa mahkamah untuk menjatuhkan hukuman setimpal kepada Majang.

Mahkamah memerintah Majang menjalani hukuman penjara itu dari tarikh tangkap dan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman itu.

Di Mahkamah Majistret, Majang dipenjara dua tahun lagi kerana menggunakan MyKad orang lain.

Dia mengaku di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun yang dia menggunakan dokumen itu di tempat dan masa yang sama.

Dalam meminta hukuman ringan, Majang yang mempunyai tujuh anak, memberitahu Jessica bahawa dia menjumpai satu dompet dan terdapat MyKad di dalamnya.

Dia mendakwa bahawa dia telah memberikan dokumen itu kepada seorang pengawal keselamatan di masjid itu tetapi pengawal itu enggan menerimanya dan hanya meminta nombor telefon Majang.

Jessica juga memerintah Majang menjalani hukuman penjaranya dari tarikh tangkap.

Inspektor Albert Basiri menjalankan pendakwaan.



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular