HEADLINES :




Peguam didakwa subahat palsukan dokumen jual beli hartanah
Published on: Wednesday, November 25, 2020
By: Bernama
Text Size:


Gambar: Pixabay.com
Kuala Lumpur: Seorang peguam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, Selasa atas sembilan pertuduhan bersubahat dengan seorang individu untuk memalsukan dokumen berhubung jual beli hartanah, tiga tahun lalu.

M. Pathmarajah, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Kesemua pertuduhan itu membabitkan sembilan dokumen, antaranya, Perjanjian Jual Beli, Surat Kuasa  Jualan dan Perjanjian Belian, Surat Kuasa Pelepasan Baki Harga Jualan dan Surat Pengesahan Pelepasan Deposit 10% Harga Jualan yang digunakan dengan niat untuk menipu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, di sini, antara September 2017 hingga Mac 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 468 kanun sama yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Hajar Hamzah menawarkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke balai polis berdekatan sekali sebulan, bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Datuk C.Vignesh Kumar dan Danial Annamalai, memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi selain masih menanggung isteri dan tiga anaknya yang masih belajar.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM90,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat seperti yang dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 12 Januari depan untuk sebutan semula kes. 



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular