HEADLINES :




Penduduk kelaparan, tidak dibenar keluar berita palsu
Published on: Saturday, November 28, 2020
By: Bernama
Text Size:


Anggota tentera mula memasang pagar berduri di kawasan Taman Telipok Ria yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) bermula Jumaat. PKPD Telipok Ria membabitkan kawasan seluas 229,459 meter persegi meliputi 3,400 unit rumah dari 18,000 penduduk. – fotoBERNAMA
Tuaran: Pelbagai berita palsu bertebaran di media sosial akan keadaan di Taman Telipok Ria yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), antaranya penduduk kelaparan kerana terputus bekalan makanan dan langsung tidak dibenarkan keluar daripada kawasan PKPD.

Bagaimanapun, tinjauan Bernama menunjukkan keadaan sebenar di kawasan terbesar dikenakan PKPD di Sabah itu adalah di sebaliknya dengan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat melakukan persiapan rapi menjaga kebajikan penduduk.

Jelas sekali pihak berkuasa gigih melakukan pemantauan terhadap keadaan penduduk manakala keluar masuk penduduk dibolehkan tetapi dikawal dengan penduduk mengalami kesusahan dibantu, sementara petugas kesihatan dilihat membuat ujian saringan Covid-19 terhadap penduduk pada pagi ini.

Ketua Polis Daerah Tuaran DSP Mohd Hamizi Halim berkata tidak wujud isu terputus bekalan makanan dalam kawasan PKPD terutama di Taman Telipok Ria kerana langkah awal telah dilakukan jabatan dan agensi yang terlibat membawa masuk bekalan makanan untuk penduduk di kawasan itu.

“Orang ramai harus menghentikan tindakan menyebar berita palsu terutama di media sosial kerana ia boleh menimbulkan kegelisahan penduduk terutama di kawasan PKPD,” katanya ketika ditemui Bernama di pos kawalan PKPD Taman Telipok Ria di sini, pada Jumaat.

Rabu lepas (25 November), Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata Taman Telipok Ria dikenakan PKPD sehingga 10 Disember depan membabitkan kawasan seluas 229,459 meter persegi meliputi 3,400 unit rumah dan 18,000 penduduk.

Mohd Hamizi berkata selain itu seorang daripada satu keluarga dibenarkan keluar daripada kawasan PKPD itu bagi melakukan urusan penting seperti membeli barang keperluan harian, mengeluarkan wang di bank atau situasi kecemasan sekaligus menafikan dakwaan penduduk langsung tidak dibenar keluar.

“Jika ada masalah seperti terputus bekalan makanan penduduk boleh terus berhubung dengan bilik gerakan kami di sini. 

“Jika perlu keluar kawasan PKPD ikut SOP (prosedur operasi standard), ikut jalan dikhaskan dan daftar dengan pos kawalan. Penduduk semua tidak perlu bimbang,” katanya.

Junaidi Eral, 48, mekanik kenderaan berat berkata penduduk percaya kerajaan akan menjaga kebajikan mereka dan segala kekurangan ditambah baik, bagaimanapun berita palsu berterusan ditabur di media sosial boleh menimbulkan kerisauan penduduk sekiranya dibiarkan tanpa tindakan tegas.

“PKPD ada kawalan di kawasan sekeliling dan ada pegawai kerajaan setiap masa, jika ada kekurangan seperti bekalan makanan jumpa sahaja pegawai minta bekalan makanan. Tidak logik kerajaan mahu kurung penduduk sehingga kelaparan,” katanya.

Alex Suah, 32, guru sains di sekolah rendah di sini berkata selain mengekang penyebaran Covid-19, usaha mengekang penularan berita palsu juga perlu dimulakan dengan pengguna media sosial sendiri perlu memeriksa kesahihan berita diterima terlebih dahulu sebelum bertindak menyebarkan berita tersebut.

“Ada yang kata tidak boleh keluar langsung (dari kawasan PKPD) tetapi tengok saya boleh sahaja keluar pergi beli barang keperluan, kami takut jika terlalu banyak berita palsu ada penduduk mula percaya terutamanya anak-anak dan lebih teruk disebarkan lagi dalam kalangan penduduk,” katanya. 



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular