HEADLINES :




Wanita jual pisau cukur tiruan didenda RM5,00
Published on: Thursday, January 14, 2021
By: Cynthia D Baga
Text Size:


Gambar: Pixabay.com
Kota Kinabalu: Seorang wanita berumur 63 tahun didenda RM5,000 atau tiga bulan penjara kerana mempunyai untuk dijual 159 unit pisau cukur kuning yang mempunyai cap dagangan palsu.

Hakim mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu ke atas Wong Ngiik Ming, yang mengaku bersalah kepada pertuduhan yang dihadapinya.

Wong didapati memiliki pisau cukur yang mempunyai cap dagangan Gillette Nacet II di Asas Sinar Enterprise, Taman Indah Permai, pada 18 September, 2020.

Kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(C) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1)(C)(ii) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan itu yang menggunakan cap dagangan palsu, atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, sementara kesalahan kedua dan berikutnya boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun bagi setiap barangan yang mempunyai deskripsi dagangan palsu.

Ketika memohon hukuman ringan, Wong yang diwakili peguam Chen Wen Jye dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, berkata dia adalah rakyat Sarawak dan telah berada di Sabah selama lebih 20 tahun.

Chen memaklumkan mahkamah bahawa suami Wong telah meninggal dunia pada 2006 dan ketika ini dia tinggal bersama anak lelakinya.

Menurut Chen, Wong telah mengusahakan kedai itu sejak 1999 dan menjana pendapatan sekitar RM2,500 sebulan.

Chen juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa Wong tidak tahu pisau-pisau cukur itu adalah palsu dan dia juga masih menyimpan resit pembelian, dan Wong hanya tahu mengenainya ketika pasukan penguat kuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) datang ke kedainya untuk membuat pemeriksaan.

Bagaimanapun, pendakwaan menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas Wong kerana dia menjual barangan dengan cap datangan palsu dan perbuatannya  juga menjejaskan syarikat jenama produk tulen itu.

Mahkamah memerintahkan eksibit dilupuskan oleh pendakwaan.



ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular